Pegawai JIM, polis antara diberkas sindiket godam Sistem Imigresen Malaysia

Abd Halim
Abd Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan proses permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah tumpas pada Selasa.

Operasi Op Crack itu dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, seramai 12 individu telah ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan antara jam 2 hingga 5 petang semalam (Selasa) di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sebanyak 1,306 PLKS palsu telah dikeluarkan, menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta.

Tambahnya, penggeledahan turut dijalankan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya.

"Operasi ini adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang telah dilaksanakan sejak Mei 2026 di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

"Turut membantu dalam operasi ini ialah Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman bagi siasatan di bawah Seksyen 17(a) dan 16(a) Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!