DAP dijangka utamakan kestabilan politik, kesinambungan Kerajaan Madani - Saifuddin Nasution

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SUBANG - DAP dijangka mengutamakan kepentingan negara khususnya dari segi kestabilan politik, selain mempertahan dan meneruskan kesinambungan pentadbiran Kerajaan Madani ketika ini.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau yakin pendirian itu akan menjadi pertimbangan kepimpinan DAP dalam menentukan kedudukan parti berkenaan bersama Kerajaan Madani.

"Saya percaya kepemimpinan DAP mempunyai kebijaksanaannya sebagai parti yang sudah lama di negara ini.

"DAP tentunya akan meletakkan kepentingan negara dari segi kestabilan politik, selain mempertahan dan meneruskan kesinambungan yang sudah berjalan sangat baik ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan memaklumkan bahawa parti itu akan menentukan kedudukannya dalam kerajaan pada Ahad ini.

Usul mengenai perkara itu akan dibentangkan kepada perwakilan Persidangan Kebangsaan DAP sebelum diputuskan hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan berkenaan.

Persidangan itu antara lain akan menentukan hala tuju DAP dalam arena politik tanah air secara kolektif.

Kongres berkenaan asalnya dijadualkan berlangsung pada 12 Julai lalu, namun ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin Nasution turut yakin Persidangan Kebangsaan DAP yang berlangsung minggu ini akan memuktamadkan keputusan parti itu untuk kekal bersama Kerajaan MADANI pada Ahad.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata DAP tidak mempunyai obligasi untuk memberi sebarang penerangan mengenai keputusan parti itu kepada PH.

"Tidak menjadi tanggungjawab DAP untuk memberi penerangan kepada PH untuk membuat keputusan selari dasar dan pendekatan politik mereka," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!