JSJN diberi akses soal siasat juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta - Saifuddin Nasution

Saifuddin pada sidang akhbar Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Malaysia Subang di sini pada Khamis.
Saifuddin pada sidang akhbar Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Malaysia Subang di sini pada Khamis.
A
A
A

SUBANG - Pasukan penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dihantar ke Jakarta diberi akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menyoal siasat juruterbang Malaysia yang ditahan sebelum ini kerana disyaki menyeludup dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak berkuasa Indonesia memberi kebenaran kepada pasukan penyiasat terbabit untuk menemui dan menemu bual lelaki berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima taklimat awal daripada Pengarah JSJN Bukit Aman, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berhubung perkembangan itu.

"Sejak awal lagi, penyiasat kita diberikan akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menemu bual subjek terbabit.

"Proses itu masih berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada mereka untuk menyelesaikan tugas terlebih dahulu," katanya dalam sidang akhbar Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Malaysia Subang di sini pada Khamis.

Pada 28 Julai lalu, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas pemeriksaan menemukan 15 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine dalam bagasinya.

Saifuddin Nasution berkata, perkembangan terbaharu hasil sesi temu bual berkenaan akan dikongsikan kepada media kemudian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, rancangan untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang juga akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

Menurutnya, beliau telah menerima taklimat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pasukan yang menyelaras perkara itu membabitkan pelbagai agensi.

Artikel Berkaitan:

"Saya memberi mereka tempoh dua minggu bermula minggu lalu untuk mengkaji perkara ini.

"Saya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu dan jika tiada perubahan, saya akan membentangkannya dalam mesyuarat Kabinet akan datang bersama Menteri Pengangkutan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!