CCTV di kawasan titik buta KLIA, KLIA2 akan ditambah baik – Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution (tengah) semasa sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke rumah balu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang terkena renjatan elektrik iaitu Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi, 2, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Saifuddin Nasution (tengah) semasa sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke rumah balu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang terkena renjatan elektrik iaitu Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi, 2, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU - Penambahbaikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 akan dilakukan sekiranya terdapat kawasan yang dikenal pasti sebagai titik buta (blind spot).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kira-kira 5,000 CCTV sudah dipasang namun penilaian akan terus dilakukan bagi memastikan tiada ruang yang boleh menjejaskan aspek keselamatan.

"Isunya bukan CCTV. Kalau ada kawasan blind spot, itu akan kita tambah baik.

"AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan), memang dalam fasa kedua operasinya membabitkan soal beberapa bentuk perolehan termasuklah CCTV. Itu cuma equipment (peralatan), infra," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu beliau bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengadakan lawatan ke rumah balu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang terkena renjatan elektrik iaitu Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi, 2, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini.

Menurut beliau, aspek manusia yang bertanggungjawab mengawasi dan memantau sistem keselamatan berkenaan turut perlu dinilai semula, khususnya dari segi standard latihan dan keupayaan.

"Jadi orang yang mengawasi atau memantau infra itu sendiri pun harus kita tengok balik dari segi standard latihannya dan sebagainya.

"Jadi itu semua aspek penambahbaikan yang akan kita tengok," katanya.

Saifuddin Nasution memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah mempersembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong yang menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap isu keselamatan lapangan terbang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Yang di-Pertuan Agong menggesa semua pihak yang terlibat memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan lapangan terbang kerana ia bukan sahaja membabitkan keselamatan, malah nama baik negara.

"Ini membabitkan bukan sahaja keselamatan, tetapi nama baik negara.

"Kita dari sudut itu sangat cemerlang dari sudut ketibaan pelancong, malah kita mengatasi Thailand. Jadi ia melibatkan inbound dan outbound," katanya.

Menurut beliau, insiden juruterbang yang ditahan di Indonesia itu membabitkan laluan outbound, yang kawalannya berada di bawah pihak Aviation Security, manakala aspek inbound turut membabitkan kawalan AKPS, Kastam dan agensi berkaitan.

"Ini bukan masa untuk tunjuk lagi dah, masa untuk kita selaraskan, koordinasikan supaya baik outbound atau inbound, ia tak jadi isu dan tidak timbul perkara yang membabitkan bolosnya barang terlarang," katanya.

Sebelum ini, seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas didapati membawa sejumlah besar dadah ketika tiba di Jakarta dari Kuala Lumpur.

Kes itu mencetuskan persoalan mengenai tahap pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Malaysia dan mendorong Malaysia Aviation Group memperketatkan saringan dadah terhadap juruterbangnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!