Menyelam tak timbul, remaja ditemukan lemas di dasar sungai

Seorang remaja ditemui lemas ketika mandi di sebuah sungai berhampiran Masjid Ulu Pulai, Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri.- Foto JBPM
Seorang remaja ditemui lemas ketika mandi di sebuah sungai berhampiran Masjid Ulu Pulai, Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri.- Foto JBPM
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Kegembiraan seorang remaja lelaki mandi-manda bersama empat rakannya bertukar tragedi apabila dia ditemukan lemas di dasar sungai berhampiran Masjid Ulu Pulai, Kampung Ulu Pulai di sini pada Rabu.

Mangsa berusia 15 tahun itu dilaporkan hilang selepas menyelam ke dalam sungai berkenaan sebelum tidak muncul semula ke permukaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Pegawai Bomba Kanan I, Md Bakhtiar Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.15 petang.

Menurutnya, seramai 17 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai berkenaan.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapatkan maklumat daripada pihak polis dan empat rakan mangsa.

“Menurut keterangan saksi, mangsa dikatakan tidak muncul semula selepas menyelam ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan.

Seorang remaja ditemui lemas ketika mandi di sebuah sungai berhampiran Masjid Ulu Pulai, Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri.- Foto JBPM
Seorang remaja ditemui lemas ketika mandi di sebuah sungai berhampiran Masjid Ulu Pulai, Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri.- Foto JBPM

Md. Bakhtiar berkata, sebelum pasukan penyelamat tiba, orang awam yang menyedari kejadian terlebih dahulu cuba melakukan pencarian secara 'surface searching' di kawasan sungai berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, susulan itu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikerahkan menjalankan operasi selaman di lokasi terakhir mangsa dipercayai dilihat.

“Usaha pencarian akhirnya membuahkan hasil apabila mangsa ditemukan di dasar sungai pada jam 10.05 malam.

“Mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira empat meter dan dua meter dari tebing sungai,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.30 malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!