Pelajar kolej lemas ketika mandi-manda bersama sembilan rakan

DUNGUN - Seorang pelajar kolej ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama rakan di Sungai Loh, Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun dekat sini petang Khamis.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, Pegawai Bomba Kanan I Kamal Suhaimi Abdullah berkata, Ahmad Al Hafiz Asri Ahmad, 19, ditemukan lemas oleh anggota pasukan bomba sukarela di celahan batu dalam jarak 10 meter dari tempat mangsa dikatakan hilang pada 5.20 petang.
Beliau berkata, mangsa dari Kampung Jaya Baru, Jalan Felda Bukit Bading, di Ajil, dekat Hulu Terengganu disedari lemas oleh rakan-rakannya selepas terjun ke dalam sungai dan tidak timbul di permukaan air kira-kira 4.40 petang.
"Maklumat awal daripada rakan memaklumkan mangsa yang mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Pelancongan Islam, bersama-sama sembilan rakan ke Sungai Loh untuk mandi-manda pada 11 pagi," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, lapan anggota bomba dan tiga anggota pasukan bomba sukarela terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
