2 remaja perempuan 15 tahun hilang ketika berkelah: Seorang ditemukan lemas

TUARAN - Seorang remaja perempuan ditemukan lemas, manakala rakannya terselamat selepas kedua-duanya dipercayai dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Tanjung Badak di sini pada petang Sabtu.
Kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan selepas mereka dilaporkan hilang di laut dengan seorang ditemukan dalam keadaan terkapai-kapai manakala seorang lagi terapung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.59 petang.
Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 23 kilometer dari BBP Tuaran.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat dua remaja perempuan dikhuatiri hilang semasa berkelah dan mandi di pantai tersebut.
"Menurut maklumat awal, seorang mangsa telah berjaya ditemui dalam keadaan terkapai-kapai.
"Sementara seorang lagi mangsa ditemukan anggota bomba dalam keadaan terapung selepas operasi SAR dilakukan di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, mangsa yang terselamat diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Sementara itu, mangsa kedua dibawa ke kawasan selamat untuk diberikan rawatan awal melalui kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR), bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Kurong berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.07 petang selepas memastikan keadaan lokasi selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
