Aduan tak jalan kalau tak tular di media sosial

KALAU dulu rakyat yang ada masalah akan telefon, menulis surat atau pergi sendiri ke pejabat untuk membuat aduan.
Sekarang Merak Jalanan perhatikan nak selesai masalah kena ambil gambar, rakam video dan kongsikan di media sosial.
Kalau bernasib baik, tular. Bila sudah tular, barulah ada kenyataan. Barulah ada siasatan. Barulah ada pihak turun padang. Merak Jalanan tertanya-tanya, adakah ini prosedur baharu untuk mendapatkan perhatian?
Masalahnya bukan pada rakyat yang menggunakan media sosial. Zaman sudah berubah dan platform itu memang menjadi ruang paling pantas untuk menyampaikan suara.
Yang membimbangkan apabila masyarakat mula percaya, kalau tak tular, jangan harap ada tindakan.
Aduan melalui saluran rasmi pula seolah-olah perlu menunggu giliran yang entah bila.
Sebab itu tidak pelik apabila orang lebih rela menjadi 'wartawan segera' rakam apa berlaku, tulis sedikit cerita dan serahkan kepada netizen untuk menentukan siapa salah dan siapa betul.
Tetapi jangan pula semua benda mahu ditularkan.
Video dipotong separuh, cerita ditokok tambah, identiti orang didedahkan. Akhirnya, yang sepatutnya mencari penyelesaian bertukar menjadi gelanggang menghukum.
Lebih pelik, ada yang sengaja mencetuskan kontroversi kerana tahu sesuatu yang mendapat perhatian ramai lebih mudah mengundang tindakan.
Kalau benar saluran rasmi berfungsi, rakyat tidak perlu menjadi pengarah, jurukamera dan wartawan sebelum masalah mereka mendapat perhatian.
Aduan sepatutnya dilayan, bukan dinilai berdasarkan jumlah tontonan netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
