KLFW 2026: Suria KLCC perkasa jenama fesyen tempatan bertaraf dunia

KUALA LUMPUR – Usaha memperjuangkan fesyen tempatan bukan sahaja menjadi tanggungjawab Suria KLCC, malah antara keutamaan penting dalam perniagaannya dalam mengetengahkan jenama Malaysia ke pentas lebih luas.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, meskipun jenama mewah antarabangsa membawa prestij, label tempatan mempunyai kekuatan tersendiri menerusi jati diri, warisan dan keunikan.
“Meletakkan jenama tersohor tanah air seperti Rizman Ruzaini setanding jenama fesyen antarabangsa membuktikan reka bentuk Malaysia benar-benar bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pertunjukan pembukaan rasmi edisi ke-14 Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2026 di Esplanade, Taman KLCC baru-baru ini.

Suria KLCC menampilkan RR by Rizman Ruzaini sebagai pembuka tirai KLFW 2026 menerusi koleksi 'Cruise 2026, RR Vol 4: Heritage in Motion' di hadapan kira-kira 500 tetamu terdiri daripada pemain industri, media dan peminat fesyen.
Francis berkata, pemilihan RR by Rizman Ruzaini bagi membuka pertunjukan tahun ini turut mencerminkan hubungan kerjasama yang dibina Suria KLCC bersama jenama tempatan berkenaan.
“Rizman Ruzaini melambangkan sebuah kisah kejayaan membanggakan dalam industri fesyen Malaysia dan kami berbangga mengiktiraf mereka sebagai salah sebuah rakan peruncitan disegani di Suria KLCC.
“'Heritage in Motion' menepati sepenuhnya semangat 'Destination: Home Ground' dengan mengangkat sesuatu yang benar-benar Malaysia dan memberikannya pentas yang setanding dunia,” katanya.
Koleksi 'Heritage in Motion' yang selari dengan tema KLFW tahun ini, 'Destination: Home Ground' mengambil inspirasi daripada nostalgia jalanan Malaysia dengan mengetengahkan elemen beca, basikal dan pengangkutan lama.
Elemen berkenaan diterjemahkan menerusi persembahan pentas serta rekaan bercirikan kontemporari yang menjadi identiti RR by Rizman Ruzaini.

Pertunjukan itu berlangsung dalam struktur bertemakan warisan monokrom yang diinspirasikan daripada motif batik arkib Yayasan Sabah, manakala koleksi diperagakan di atas pentas serba putih berbentuk jam pasir.
Persembahan berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi skrin LED besar untuk tontonan pengunjung Suria KLCC.
Antara yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd Salem Kailany dan Pengasas KLFW, Andrew Tan.
Sementara itu, Rizman berkata, peluang membuka tirai KLFW merupakan satu pengiktirafan besar kepada jenama berkenaan, selain menandakan hubungan kerjasama lebih erat dengan Suria KLCC.
Pencapaian itu menyusuli pembukaan butik pertama di bawah label RR di Suria KLCC pada 2025 selepas Rizman dan rakan pengasasnya, Ruzaini berkecimpung hampir dua dekad dalam industri fesyen.
“Pada akhirnya, kepercayaan terhadap jenama amat penting dan memiliki ruang di Suria KLCC bermakna jenama anda dipercayai,” katanya.

KLFW 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos lalu di Esplanade, Taman KLCC menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan.
Edisi kali ini dianjurkan dengan kerjasama Suria KLCC dan KLCC (Holdings) Sdn Bhd serta mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai Rakan Strategik Industri Utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Selain pertunjukan fesyen, program berkenaan turut merangkumi kolaborasi merentas industri serta beberapa aktiviti di Suria KLCC termasuk paparan gaya oleh pelajar fesyen di Isetan KLCC dan gerai 'pop-up' Jom Malaysia anjuran KPDN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
