Karnival VIKids kembali meriahkan cuti sekolah di Alamanda, Mesra Mall

PUTRAJAYA – Karnival VIKids kembali menceriakan cuti pertengahan penggal sekolah menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan bengkel kreatif yang berlangsung di Alamanda Shopping Centre dan Mesra Mall bermula Mei ini.
Kempen tahunan anjuran pusat beli-belah di bawah Suria KLCC Sdn Bhd itu menawarkan pengalaman unik berkonsep retro-futuristik dan aktiviti kreatif khas buat kanak-kanak serta keluarga sepanjang musim cuti sekolah.
Di Alamanda, Karnival VIKids berlangsung selama 19 hari bermula 20 Mei hingga 7 Jun depan dengan ruang Centre Court diubah suai menjadi karnival retro-futuristik yang diinspirasikan daripada elemen neon era 1980-an.
Pengunjung bakal disambut dengan lantai bercorak catur hitam putih klasik selain dekorasi lampu neon berinspirasikan pita kaset, boombox dan pohon kelapa yang mencetuskan suasana nostalgia.
Karnival tersebut turut menampilkan empat stesen permainan pesta ria tradisional, zon arked serta bengkel seni dan kraf kreatif yang dibuka kepada orang ramai.

Bagi menambah kemeriahan, pengunjung juga boleh menikmati persembahan hujung minggu seperti Tarian Neon, pertunjukan silap mata dan aksi badut belon yang dijadual berlangsung tiga kali sehari pada setiap Sabtu dan Ahad.
Menerusi Program Ganjaran Pembeli, ahli VIKids yang berbelanja RM300 dan ke atas dalam maksimum dua resit di mana-mana kedai pakar layak menebus dua Pas Karnival percuma.
Bagi bukan ahli, mereka boleh menikmati ganjaran sama dengan perbelanjaan minimum RM500 dalam maksimum dua resit.
Sementara itu, Mesra Mall Kemaman pula menganjurkan Karnival VIKids dari 22 hingga 26 Mei ini dengan mengetengahkan tema dunia alat tulis yang lebih berfokus kepada kreativiti dan aktiviti amali.
Acara tersebut menawarkan ruang bergambar interaktif lengkap dengan bingkai swafoto gergasi bertemakan alat tulis selain siri bengkel DIY keperluan sekolah yang berlangsung setiap hari dari jam 2 petang hingga 6 petang.
Kanak-kanak bawah 12 tahun berpeluang menghasilkan sendiri pelbagai barangan sekolah termasuk jadual waktu, bekas alat tulis, hiasan pensel dan penanda buku.
Program Ganjaran Pembeli di Mesra Mall turut menawarkan dua tiket bengkel percuma kepada ahli VIKids yang berbelanja RM50 dan ke atas dalam satu resit di mana-mana kedai pakar.
Selain itu, 300 ahli baharu pertama yang mendaftar dengan perbelanjaan minimum RM100 dalam satu resit akan menerima dua tiket bengkel serta beg hadiah set alat tulis.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, Karnival VIKids dianjurkan bagi memberikan pengalaman menyeronokkan dan bermakna kepada komuniti sepanjang musim cuti sekolah.
“Kami mahu menyediakan pengalaman berteraskan keluarga yang luar biasa sama ada melalui suasana neon retro di Alamanda mahupun bengkel kreatif amali di Mesra Mall.
“Fokus kami kekal untuk membina kenangan percutian yang indah dan bermakna buat ibu bapa serta anak-anak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
