Identiti warga emas tinggal di hentian bas belum dikenal pasti

IPOH – Identiti seorang warga emas yang sebelum ini tular kerana tinggal di sebuah hentian bas di Greentown di sini masih belum dikenal pasti.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, warga emas berkenaan kini masih menerima rawatan di hospital selepas disantuni Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan keadaan kesihatannya yang membimbangkan.
Menurutnya, pihak JKM menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta telah mengambil tindakan membersihkan keadaan warga emas berkenaan sebelum membawanya ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Keadaan pak cik tersebut agak kritikal kerana dia memang tidak dapat menguruskan dirinya sendiri, malah terdapat najis dan segala keadaan yang tidak sepatutnya.
“Jadi apabila perkara itu tular, saya meminta bantuan JKM untuk cuba menyantuni pak cik tersebut dan JKM melalui Pejabat JKM Kinta telah turun membersihkan semua keadaan pak cik itu sebelum kita menghantarnya untuk pemeriksaan di hospital,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Mock Cheque Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Salbiah berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti waris warga emas terbabit berikutan tiada dokumen pengenalan diri atau identiti pada badan lelaki berkenaan.
“Kita belum dapat mengenal pasti waris warga emas tersebut sebab dia tidak mempunyai apa-apa identiti pada badan.
“Kita sedang meminta bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat semakan tetapi setakat ini belum ada keputusan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Salbiah menjelaskan isu gelandangan bukan hanya melibatkan JKM kerana beberapa agensi lain turut mempunyai peranan mengikut keadaan individu terbabit.
Katanya, JKM akan mengambil tindakan awal dari aspek kebajikan sebelum mendapatkan bantuan agensi berkaitan sekiranya melibatkan isu kesihatan mental, kesihatan fizikal atau keselamatan.
“Kalau melibatkan mental, kesihatan atau kacau ganggu, ada agensi lain seperti polis yang terlibat secara langsung.
“Biasanya JKM akan mengambil peranan untuk membantu terlebih dahulu sebelum kita serahkan kepada agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya.
Pada 9 Ogos lalu, media melaporkan seorang warga emas yang tular selepas tinggal lebih seminggu di sebuah hentian bas di hadapan Klinik Kesihatan Greentown di sini, akhirnya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan penilaian kesihatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

