Kemelut PN: RoS digesa segera campur tangan - Tun Faisal

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR -  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) diminta mengambil tindakan segera bagi menangani kemelut yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, Pas telah mempergunakan PN sesuka hati demi kepentingan politik parti itu, termasuk melalui tindakan unilateral yang menafikan hak parti anggota serta didakwa melanggar Perlembagaan PN.

"Isu utamanya di sini ialah perlu ada urgency daripada pihak RoS untuk campur tangan agar PN tidak dipergunakan sesuka hati oleh Pas untuk bertindak dan membuat keputusan secara unilateral, menafikan hak mana-mana parti anggota PN dan melanggar perlembagaan parti gabungan.

"Kita mahu supaya keputusan-keputusan Majlis Tertinggi PN (MTPN) diputuskan mengikut perlembagaan melalui mesyuarat dan bukannya (menerusi) campur tangan daripada Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang),” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Jumaat lepas, media melaporkan Abdul Hadi mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik daripada PN susulan hasrat parti itu untuk membentuk gabungan baharu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun menolak kenyataan Abdul Hadi dan menegaskan parti berkenaan masih merupakan anggota sah PN memandangkan tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan parti anggota tergugur dengan sendirinya.

Mohamed Azmin turut menegaskan Presiden Pas tidak mempunyai hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN.

Mengulas lanjut, Tun Faisal mendakwa PN tidak seharusnya diurus mengikut telunjuk satu pihak sahaja, sebaliknya perlu ditadbir secara adil, telus dan berintegriti berasaskan Perlembagaan PN.

Sementara itu, di Perak, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setakat ini Bersatu masih merupakan anggota gabungan itu.- Bernama 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!