Kedudukan Bersatu perlu diputuskan secara demokratik

SHAH ALAM - Sebarang keputusan berhubung kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) perlu dibuat mengikut saluran yang diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan itu serta berlandaskan prinsip demokrasi.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata, keputusan berhubung perkara itu sepatutnya dibuat secara kolektif menerusi badan yang diperuntukkan dalam perlembagaan PN.
“Majlis Presiden berperanan sebagai badan tertinggi dalam memberikan nasihat, jadi keputusan perlu dicapai secara bersama.
“Perkara inilah yang menyebabkan kebuntuan berpanjangan kerana Pas mengetahui sekiranya perkara itu dibawa ke Majlis Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) dijangka menggunakan kuasa veto.
“Jika melibatkan keputusan di Majlis Presiden, kita sudah boleh jangka bagaimana keputusannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Syaza Farhana berkata, proses membuat keputusan tetap perlu melalui mekanisme yang diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan itu selaras dengan prinsip demokrasi.
“Sekiranya selepas mesyuarat diadakan dan Bersatu masih mengekalkan pendirian untuk menggunakan kuasa veto serta kekal sebagai komponen PN, keputusan tersebut perlu dihormati,” ujarnya.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik daripada gabungan tersebut susulan tindakan parti itu yang mahu membentuk gabungan bersama parti lain.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, mana-mana pihak yang memutuskan untuk menyertai atau membentuk jalinan lain secara automatik hilang keahlian tanpa memerlukan sebarang surat rasmi atau keputusan khusus berdasarkan perlembagaan PN.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Presiden Pas tidak mempunyai kuasa veto untuk menentukan kedudukan mana-mana parti kerana keputusan berkaitan keahlian perlu dibuat secara kolektif.
Justeru, beliau menolak dakwaan bahawa Bersatu terkeluar secara automatik daripada PN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

