Bersatu masih anggota PN - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (tengah) menerima cenderahati daripada Idris (kanan) selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak kali ke-23 di Hotel Perdana pada Ahad.
Ahmad Samsuri (tengah) menerima cenderahati daripada Idris (kanan) selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak kali ke-23 di Hotel Perdana pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kekal sebagai anggota Perikatan Nasional (PN) sehingga hari ini, kata Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedudukan Bersatu dalam gabungan itu sedang diteliti susulan terdapat laporan daripada beberapa Ahli Parlimen Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan keabsahan kepimpinan jawatankuasa parti berkenaan.

Menurutnya, PN mengambil maklum perkara tersebut dan akan melihat sejauh mana keabsahan kepimpinan Bersatu dipertikaikan oleh ROS.

“Buat masa ini sehingga tarikh hari ini, 9 Ogos, Bersatu masih lagi ahli dalam PN.

“Walaupun mungkin isu keberadaan Bersatu dalam PN ini agak unik sedikit oleh kerana ada laporan daripada beberapa orang Ahli Parlimen Bersatu sendiri kepada ROS tentang keabsahan kedudukan kepimpinan jawatankuasa Bersatu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak kali ke-23 di Hotel Perdana di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik daripada PN susulan hasrat parti itu untuk membentuk gabungan baharu.

Menurut Abdul Hadi, berdasarkan perlembagaan, mana-mana pihak yang memutuskan untuk menyertai atau membentuk jalinan lain secara automatik hilang keahlian tanpa memerlukan sebarang surat rasmi atau keputusan khusus.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Abdul Hadi tidak mempunyai hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan parti itu dalam PN.

Mohamed Azmin berkata, dakwaan bahawa keahlian Bersatu dalam PN telah tergugur secara automatik adalah tidak berasas dan menunjukkan Abdul Hadi tidak memahami Perlembagaan PN.

Dalam pada itu Ahmad Samsuri berkata, buat masa ini tiada perbincangan khusus dalam PN mengenai kedudukan Bersatu kerana keutamaan gabungan itu adalah memastikan kemenangan sebanyak mungkin kerusi pada pilihan raya akan datang khususnya di Melaka.

“Saya rasa yang menjadi keutamaan nombor satu dalam Perikatan Nasional sekarang ini ialah bagaimana untuk memastikan kita memenangi kerusi sebanyak mungkin dalam pilihan raya di Melaka khususnya yang paling hampir dan tentunya di peringkat Persekutuan.

“Jadi tidak ada perkara lain lagi yang dalam agenda untuk dibincangkan selain daripada itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bahawa Pengerusi PN seolah-olah menjadi ‘boneka’, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, perkara itu terpulang kepada pihak yang membuat kenyataan.

"Itu terpulang, saya tak boleh nak halang apa yang mereka nak bercakap.

"Mereka nak kata apa sekalipun, itu adalah hak mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!