Politik fitnah, ketakutan boleh pecahbelahkan umat – Kesatuan Pondok-pondok Kelantan

Zulkarnain Harun (kiri) dan Hadi Awang
Zulkarnain Harun (kiri) dan Hadi Awang
A
A
A

KOTA BHARU - Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan menolak sekeras-kerasnya dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.

Pengerusi Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan, Zulkarnain Harun menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah dan tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti jelas serta sahih, selain memberi amaran ia berpotensi menyemarakkan prasangka, kebencian dan perpecahan dalam kalangan umat Islam serta masyarakat majmuk.

Menurut beliau, pendekatan politik sedemikian juga bercanggah dengan tuntutan syariat yang mewajibkan keadilan, tabayyun serta melarang tuduhan dibuat tanpa bukti.

"Politik ketakutan mungkin memberikan keuntungan politik jangka pendek, tetapi perpecahan umat dan kerosakan keharmonian negara adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau,ia menggambarkan penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan secara automatik membolehkan parti berkenaan menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam adalah gambaran tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara.

Katanya, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang meletakkan kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, Parlimen, undang-undang serta prinsip semak dan imbang.

"Kedudukan Islam jelas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.

"Malah, pindaan terhadap beberapa perkara tertentu yang menyentuh kedudukan tersebut turut tertakluk kepada perlindungan dan tatacara perlembagaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan politik tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui persoalan siapa kawan dan siapa lawan, sebaliknya menjadi medan mengurus kemaslahatan manusia, menegakkan keadilan, mencegah kemudaratan serta memelihara keamanan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya menyeru semua pemimpin politik, khususnya yang membawa imej dan nama Islam supaya lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan.

"Pengaruh seorang pemimpin datang bersama amanah yang besar. Setiap perkataan boleh menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat atau api yang membakar perpecahan.

"Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah. Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan. Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan," katanya.

Menurut beliau, diharap agar politik negara beralih daripada pendekatan menakut-nakutkan rakyat kepada politik penyelesaian dengan persaingan menawarkan gagasan terbaik bagi meningkatkan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menyediakan pekerjaan, memperkukuh pendidikan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Kita boleh berbeza parti, pendekatan dan pandangan, tetapi perbezaan itu hendaklah diurus dengan ilmu, fakta, adab dan keadilan.

"Marilah kita membina politik yang berteraskan ilmu, fakta, keadilan, akhlak dan maslahah, demi Islam yang dihormati, rakyat yang bersatu dan Malaysia yang aman serta sejahtera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!