PRN Melaka: Belum ada rundingan rasmi dengan BN Melaka - Adam Adli

MELAKA - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abd Halim mengesahkan belum ada sebarang rundingan rasmi dengan Barisan Nasional (BN) negeri berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pun begitu, Adam Adli berkata, komunikasi dan perbincangan secara tidak rasmi antara wakil parti itu dan BN sentiasa berlangsung.
“Buat masa sekarang, kita di peringkat Melaka memang belum ada sebarang rundingan rasmi.
“Tetapi komunikasi dan perbincangan sentiasa diadakan, sama ada secara individu mahupun antara wakil-wakil parti dengan BN,” katanya ketika ditemui pada Program Santuni Madani Bukit Katil yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Kolej Vokasional Melaka Tengah di sini pada Ahad.
Adam Adli berkata, sebarang rundingan pada masa akan datang perlu mengambil kira semua faktor, termasuk perkembangan terkini selepas DAP keluar daripada kerajaan negeri.
“Semua faktor akan mempengaruhi rundingan. Dalam rundingan, setiap pihak akan ada sudut pandang masing-masing dan mereka perlu membawa sesuatu ke meja rundingan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini ADUN-ADUN PH lebih memberi tumpuan untuk menyelesaikan tugas dan amanah mereka sepanjang baki tempoh perkhidmatan.
“Mandat baharu dan sebagainya itu adalah perkara yang kita bincangkan selepas ini.
“Utama sekali, dalam suasana kita baru selesai dua pilihan raya negeri, terlalu banyak tumpuan kepada isu dan polemik politik yang telah memberi kesan amat buruk kepada masyarakat dari sudut ekonomi, isu-isu tempatan dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

