PRN Melaka: PH terbuka runding kerusi dengan BN, parti lain - Adly

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) Melaka terbuka mengadakan rundingan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan Barisan Nasional (BN) atau mana-mana parti lain yang selari dengan aspirasi dan prinsip perjuangan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum mengadakan sebarang pertemuan dengan sebarang parti bagi rundingan perkara berkenaan, sebaliknya perbincangan masih di peringkat dalaman PH.
“Memang kita mengalu-alukan siapa pun yang mahu mengadakan perundingan dengan kita, termasuk BN atau dengan siapa pun.
“Kalau mereka mempunyai aspirasi yang sama dengan kita, memang kita sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Santuni Madani Bukit Katil yang disempurnakan olehnya merangkap Timbalan Menteri Pertahanan di Kolej Vokasional Melaka Tengah, di sini pada Ahad.
Terdahulu, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi PRN Melaka di bawah formula BN Plus.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, pihaknya membuka pintu seluas-luasnya untuk mana-mana pihak yang ingin berunding dengan parti tersebut bagi menghadapi PRN kali ini.
Adly ditanya sama ada beliau sudah berhubung dengan Ab Rauf bagi mengadakan rundingan, Adly berkata, perkara itu masih belum berlaku.
“Belum. Kita hanya membincangkannya di peringkat dalaman PH. Kita sudah mengadakan dua siri mesyuarat di peringkat negeri dan mengambil kira semua aspek.
“Namun, kita belum membuat sebarang keputusan sama ada bentuk kerjasama dengan pihak luar,” katanya.
Mengulas lanjut, Adly berkata, PH Melaka sedang mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi pada PRN akan datang dengan mengambil kira kekuatan setiap parti komponennya serta pengalaman pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.
Ujarnya, jumlah kerusi yang bakal ditandingi PH masih belum dimuktamadkan, namun fokus utama PH pada PRN Melaka untuk meningkatkan jumlah kemenangan dengan mengambil kira keputusan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum sebelum ini.
“Kita ada 28 kerusi di peringkat negeri dan dalam parti-parti PH, kita sedang melihat potensi kerusi utama yang boleh kita menangi.
“Memang kita ada beberapa kerusi fokus dan kita yakin boleh menambah bilangan kerusi di Melaka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

