PRN Melaka: BN terbuka untuk berunding, tukar kerusi - Ahmad Zahid

KUDAT - Barisan Nasional (BN) tidak menutup ruang rundingan berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi antara parti.
Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prinsip asas dalam rundingan berkenaan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati, namun pertukaran masih boleh dilakukan sekiranya dipersetujui bersama.
"Ya, sebagaimana yang saya nyatakan bahawa Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri Melaka menyatakan bahawa asasnya sebarang perundingan, di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu hendaklah dihormati.
"Tetapi perundingan boleh dilakukan untuk 'swap' atau pertukaran kerusi asalkan jumlah kerusi itu sama.
"Jadi dalam keadaan yang begitu, saya fikir parti-parti lain yang menguasai negeri-negeri tertentu di Semenanjung tentunya mempunyai pendirian yang sama. Mereka tidak akan menyerahkan kerusi yang mereka menangi kepada rakan-rakan kongsi politik. Tetapi kalau mereka boleh melakukannya dengan janji kejujuran dan keikhlasan, saya tidak nampak bahawa Ketua Menteri Melaka tidak boleh melakukannya," katanya ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Festival Kebudayaan Rungus Anjuran Persatuan Momogun Rungus Malaysia di Dewan Persatuan Momogun Rungus Malaysia, Matunggong di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini yang menggesa parti-parti dalam gabungan kerajaan supaya tidak terlebih dahulu mengumumkan hasrat mempertahankan kerusi tertentu sebelum rundingan pembahagian kerusi dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain pertukaran kerusi dalam rundingan PRN Melaka, pendekatan sama boleh dipertimbangkan membabitkan negeri-negeri lain yang dikuasai parti rakan dalam gabungan.
"Jadi pertama ialah swap kerusi, yang kedua kalau boleh swap kerusi di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh mereka. Jadi prinsip kami ialah bahawa tidak mustahil kalau pintu itu terus terbuka untuk perundingan tetapi jangan buka seluas-luasnya, jangan tutup pintu itu serapat-rapatnya.
"Jadi ertinya masih ada ruang untuk perundingan itu dijalankan," katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda dan adiknya, Datuk Verdon yang juga Ahli Parlimen Kudat menyertai BN beliau berkata, perkara itu akan dirundingkan oleh Pengerusi BN Sabah terlebih dahulu.
Katanya, sekiranya persetujuan dicapai, keputusan berkenaan perlu dibawa ke peringkat pusat untuk mendapatkan pengesahan Dewan Tertinggi BN.
"Kedua-dua adik-beradik ini memang hati mereka 'biru' dari dulu... Jadi untuk perinciannya saya akan memberikan kepercayaan kepada Pengerusi BN Sabah untuk merundingkannya.
"Jika ini telah diputuskan maka saya sebagai Pengerusi BN di peringkat pusat tentunya akan melakukan keabsahan setelah saya bawa ke Dewan Tertinggi BN di peringkat Pusat," katanya.
Katanya lagi, kedua-dua ahli Parlimen berkenaan juga kerap bertemu dengannya, termasuk hampir setiap kali persidangan Parlimen berlangsung.
Menurutnya, pertemuan itu bukan semata-mata bagi memohon peruntukan, sebaliknya turut membabitkan permohonan bantuan lain untuk pengundi dan rakyat di kawasan yang diwakili mereka.
"Mereka sering bertemu saya dan seingat saya setiap kali ada persidangan Parlimen, kedua-dua mereka pasti bertemu dengan saya. Bukan hanya soal memohon peruntukan tetapi juga bantuan-bantuan lain untuk pengundi-pengundi dan rakyat di kawasan yang mereka wakili," katanya.
Untuk rekod, Wetrom merupakan Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) manakala adiknya merupakan ahli parlimen Bebas.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid berharap kedua-dua ahli Parlimen tersebut akan bersama BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang apabila menyentuh mengenai 'gelombang biru' yang bakal tiba.
"Tetapi 'gelombang biru' itu tetap datang Insya-ALLAH kalau dalam PRU akan datang kalau Kota Marudu dan Kudat bersama-sama biru dengan saya, alangkah baiknya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
