'Air memang dah ada, tapi tak cukup lagi'

IPOH - Isu kekurangan bekalan air yang menjejaskan pesawah di daerah Perak Tengah sebelum ini menunjukkan perkembangan positif apabila air kini mula disalurkan ke kawasan sawah.
Tinjauan di sekitar kawasan Bota, Titi Gantung dan Lambor mendapati bekalan air sudah mula memasuki petak sawah, namun masih belum mencukupi sepenuhnya terutama di kawasan hujung blok.
Pesawah, Azizan Nasarudin, 36, berkata, tanaman padinya yang kini berusia antara 30 hingga 50 hari amat memerlukan air bagi memastikan pertumbuhan yang sempurna.
Menurutnya, air mula digunakan sejak 10 hari lalu hasil usaha Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun tekanan air masih rendah dan belum mencukupi untuk keseluruhan kawasan sawahnya seluas lima hektar.
“Air memang dah ada, tapi tak cukup lagi. Kalau berterusan macam ini, pokok boleh jadi bantut, lebih-lebih lagi dengan cuaca panas sekarang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Mior Hafizan Zulkefily, 43, berkata, bekalan air kini beransur masuk ke petak sawahnya seluas 17 hektar berbanding sebelum ini yang kering sepenuhnya.
"Contohnya petak ini, sebelum ini langsung tiada air, tetapi sekarang sudah ada walaupun masih belum mencukupi. Kawasan di hujung pula masih belum sampai air," katanya.
Menurutnya, tanaman padi memerlukan bekalan air berterusan sepanjang tempoh pertumbuhan sehingga kira-kira 90 hari bagi memastikan hasil yang berkualiti.

Katanya, kekurangan air boleh menyebabkan padi tidak bernas, tangkai pendek dan seterusnya menjejaskan hasil sehingga 50 peratus.
“Biasanya saya boleh dapat sekitar 25 hingga 30 metrik tan, tetapi kalau air tak cukup, hasil akan berkurang dengan ketara,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan JPS atas usaha menyalurkan bekalan air ke kawasan sawah berkenaan.
“Saya harap usaha ini diteruskan dan ada langkah lebih berkesan untuk musim akan datang,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, pam tambahan yang dibekalkan minggu lalu perlu beroperasi secara berterusan bagi memastikan bekalan air sampai ke semua kawasan.

“Pam ini perlu berjalan 24 jam dengan pemantauan rapi, selain kerjasama penduduk kampung untuk memastikan operasi berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu sedikit sebanyak melegakan pesawah yang sebelum ini hampir berputus asa selepas kehilangan satu musim akibat kekurangan air.
Namun katanya, langkah jangka panjang termasuk penubuhan ‘task force’ di peringkat negeri serta kerjasama pelbagai agensi perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan masalah berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

