MyKhas bukan untuk ahli Parlimen, boleh salur terus kepada rakyat - Fahmi

KUALA LUMPUR - MyKhas bukan diperuntukkan kepada ahli Parlimen sebagai hak peribadi, sebaliknya ia dana khas Perdana Menteri yang disalurkan terus bagi memenuhi keperluan serta kebajikan rakyat di sesebuah kawasan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa peruntukan kerajaan adalah untuk manfaat rakyat dan bukannya hak eksklusif mana-mana wakil rakyat.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, peruntukan itu telah termaktub dalam dokumen Rancangan Malaysia (RMK) serta dokumen bajet sebagai peruntukan khas di bawah seliaan Perdana Menteri untuk disalurkan mengikut keperluan.
"Kalau kita tengok dalam dokumen RMK (Rancangan Malaysia) dan juga dokumen bajet yang dimaksudkan adalah peruntukan khas Perdana Menteri.
"Maka, kita serahkan kepada Perdana Menteri bagaimana untuk salurkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, MyKhas tidak boleh digunakan oleh ahli Parlimen untuk kepentingan sendiri, sebaliknya mekanisme itu diwujudkan bagi membantu penduduk dan pengundi di kawasan Parlimen masing-masing.
"Macam saya pun, MyKhas tidak boleh digunakan untuk saya. MyKhas digunakan untuk rakyat, penduduk dan pengundi dalam Parlimen. Apa yang Perdana Menteri sebutkan itu adalah betul, tepat dan benar," katanya.
Mengenai penyaluran bantuan di negeri-negeri yang dimenangi pembangkang, Fahmi menjelaskan, sebarang permohonan boleh dibuat menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Semalam, Anwar menegaskan, peruntukan kerajaan yang disalurkan ke kawasan Parlimen bukan hak eksklusif seseorang wakil rakyat, sebaliknya digunakan untuk menyediakan kemudahan dan meningkatkan keselesaan serta taraf hidup rakyat di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri berkata, peruntukan berkenaan boleh disalurkan terus kepada rakyat termasuk bagi keperluan sekolah, sekolah agama, masjid dan kerja-kerja membaiki longkang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
