Spekulasi Ahli Parlimen Subang bakal kosongkan kerusi: ‘Tiada maklumat setakat ini’ - Fahmi

Fahmi ketika sidang media selepas Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto Bernama
Fahmi ketika sidang media selepas Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai spekulasi bahawa Ahli Parlimen Subang, Wong Chen bakal mengosongkan kerusi Parlimen tersebut.

Menurut beliau, sebarang perkara berkaitan status kerusi berkenaan tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Terdahulu, media melaporkan Chen ada menyatakan hasrat untuk meletak jawatan ketika pertemuan dengan Johari semalam dengan wakil rakyat itu dijangka mengumumkan keputusannya pada Isnin. 

Selain itu, keputusan untuk memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah Anwar daripada jawatan Timbalan Presiden PKR tidak menjejaskan operasi dan fungsi parti itu, sebaliknya gerak kerja organisasi tetap diteruskan seperti biasa.

Fahmi berkata, Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah diberi mandat untuk menggalas sementara tanggungjawab serta fungsi jawatan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR tidak menerima peletakan jawatan Nurul Izzah, sebaliknya hanya membenarkan permohonan beliau untuk bercuti bagi memberikan tumpuan kepada urusan peribadi, serta melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD).

"Nurul Izzah kekal sebagai anggota parti dan akan terus membantu parti dalam perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Menyentuh desas-desus Pilihan Raya Umum (PRU) bakal diadakan lebih awal, Fahmi menjelaskan, tiada sebarang perancangan sedemikian buat masa ini dan kerajaan menjangkakan PRU hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada hujung tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tumpuan Kerajaan Persekutuan ketika ini adalah untuk memastikan kelancaran pentadbiran, selain menghargai komitmen rakan komponen Kerajaan Perpaduan yang terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.

Fahmi berkata, komitmen menyeluruh dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan adalah untuk meneruskan usaha memperbaiki keadaan negara serta melaksanakan agenda reformasi yang diperlukan rakyat.

Beliau berkata, antara perkara yang masih perlu diberi perhatian ialah pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Fahmi turut memberikan bayangan bahawa Perdana Menteri dalam masa terdekat akan membuat beberapa pengumuman yang disifatkannya sebagai baik untuk rakyat dan negara.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!