Taklimat Khas BN RCI TH: 'Bagus', tunggu esok' antara respons ringkas ahli Parlimen BN

KUALA LUMPUR - Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) memberi respons ringkas ketika ditemui selepas menghadiri taklimat khas berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) pada Isnin.
Ketika ditanya wartawan mengenai perkembangan taklimat yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hanya menjawab 'bagus'.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula meminta wartawan 'tunggu esok' ketika ditanya mengenai taklimat berkenaan.
Taklimat yang bermula kira-kira jam 5 petang itu berakhir sekitar jam 7 malam.
Selepas taklimat, beberapa Ahli Parlimen BN dilihat meninggalkan lokasi, antaranya Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Mohamad Alamin dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Difahamkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut berada di lokasi berkenaan.
Terdahulu, taklimat khas itu diadakan menjelang sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos bagi membahaskan laporan RCI berkaitan TH yang didedahkan kerajaan baru-baru ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang sebelum ini dijangka berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, WTCKL.
Sebelum ini, Ahmad Maslan memaklumkan taklimat berkenaan dibuat bagi menyeragamkan pertahanan atau perbahasan ahli Parlimen gabungan itu dalam perbahasan laporan RCI tersebut.
Beliau turut memaklumkan beberapa wakil Kelab Ahli Penyokong BN (BNBBC) telah dikenal pasti untuk mengambil bahagian dalam sesi sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
