Jangan hukum pegawai KKDW hadir program rasmi ketika PRN - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, pada Khamis. Foto Bernama
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melindungi pegawai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) daripada sebarang tindakan atau tekanan hanya kerana menghadiri program rasmi kementerian ketika berlangsungnya pilihan raya negeri.

Beliau berkata, pegawai kerajaan tidak seharusnya dihukum kerana menjalankan tugas dan menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah, selagi mereka tidak terlibat dalam politik kepartian.

"Saya tahu ada di kalangan di hadapan saya ini yang mungkin telah dipanggil berdepan dengan tekanan susulan pertembungan politik.

"Apa salahnya datang ke majlis anjuran kementerian di negeri yang kebetulan ada pilihan raya negeri? Apa salahnya? Jangan hukum pegawai ini! Jangan ambil tindakan kerana mereka yakin dengan kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah. Takkan begitu!" katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga KKDW di sini pada Khamis.

Menurut Ahmad Zahid, selagi beliau memegang amanah sebagai Menteri KKDW, setiap pegawai kementerian akan terus dipertahankan daripada sebarang bentuk tekanan yang tidak wajar.

"Percayalah, selagi saya berada di sini memegang amanah sebagai Menteri KKDW, saya beri jaminan setiap pegawai kementerian saya akan saya lindungi.

"Saya lindungi kerana saya tidak mahu pegawai-pegawai saya ini terlibat di dalam politik. Menghadiri majlis tidak bererti mereka terlibat di dalam politik. Ini harus dibezakan oleh ketua yang di atas sana. Tak tahu siapa namanya, tetapi fahamilah perkara ini," tegasnya.

Beliau turut menggesa semua pegawai KKDW supaya terus melaksanakan tugas secara profesional mengikut peraturan serta saluran perundangan yang ditetapkan.

"Saya profesional dalam perkara ini. Saya mahu saudara dan saudari teruskanlah berkhidmat dan laksanakan tanggungjawab yang diberikan mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul.

Artikel Berkaitan:

"Selebihnya, serahkan kepada saya. Saya tahu apa yang perlu dilakukan, insya-ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik semasa bagi memahami hala tuju kerajaan, namun tidak boleh dipolitikkan.

"Penjawat awam perlu peka terhadap konteks politik yang membentuk dasar kerajaan, tetapi tidak boleh dan tidak perlu terheret ke dalam politik kepartian.

"Anda perlu peka terhadap perkembangan politik, tetapi jangan sekali-kali dipolitikkan," katanya.

Beliau menjelaskan, politik menentukan mandat dan hala tuju kerajaan, manakala pentadbiran bertanggungjawab menterjemahkan mandat itu kepada dasar, program dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara profesional.

Justeru, katanya, urusan pentadbiran kerajaan tidak boleh terhenti hanya kerana berlaku perubahan atau ketegangan politik.

"Apa juga dinamika politik yang berlaku, peranan penjawat awam tidak boleh diganggu gugat. Penjawat awam ialah tiang seri kesinambungan negara.

"Tanggungjawab anda ialah memastikan kerajaan terus berfungsi, dasar dilaksanakan, projek bergerak dan perkhidmatan sampai kepada rakyat," ujar Ahmad Zahid.

Beliau berkata, menteri atau kerajaan boleh berubah mengikut keadaan politik, namun institusi perkhidmatan awam mesti terus kekal kukuh demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!