Harap PKP fasa ketiga cetus gerun individu ingkar

Sekatan jalan raya oleh pihak polis. -Foto Bernama
Sekatan jalan raya oleh pihak polis. -Foto Bernama
A
A
A

APA sudah jadi? Tiba-tiba saja berlaku kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di hadapan Plaza IOI, Puchong kelmarin. Terkejut juga Merak Jalanan bila melihat rakaman video yang tular itu.

Mulanya, Merak Jalanan ingatkan itu hanya rakaman video lama yang sengaja ditularkan. Tetapi apabila pihak polis mengesahkan kejadian itu benar-benar berlaku, Merak Jalanan mula jadi resah gelisah.

Bagi Merak Jalanan, situasi kesesakan itu luar biasa. Bukan Merak Jalanan tak pernah alami kesesakan luar biasa. Tetapi kesesakan pada hari terakhir tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua itu memang luar biasa.

Sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu, rasanya ini kali pertama Merak Jalanan lihat kesesakan luar biasa. Mungkin ada beberapa kawasan berlaku sedikit kesesakan tetapi tidak seperti mana yang terjadi di Jalan Puchong itu.

Memang benar, kesesakan itu juga berpunca daripada sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan pihak berkuasa. Tetapi timbul persoalan, adakah masih ramai yang degil dan ingkar dengan arahan PKP?

Untuk rekod, jumlah 14,922 pesalah yang ditahan sepanjang PKP fasa pertama dan kedua adalah satu angka yang besar. Angkara ingkar PKP, seramai 5,830 individu sudah dituduh di mahkamah seluruh negara setakat ini.

Sepertimana yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang medianya semalam, pematuhan PKP masih di peringkat 97 peratus. Jadi masih ada yang ingkar arahan.

Sebaik saja PKP fasa ketiga bermula semalam, Merak Jalanan hanya mampu berdoa dan berharap peratusan pematuhan PKP meningkat. Jika tidak boleh 100 peratus, biarlah ia berada diangka yang ‘memuaskan hati’ pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Dengan hukuman lebih berat kepada pesalah PKP selepas ini – ditahan dan terus dikenakan tindakan mahkamah, ia sewajarnya mampu mengundang rasa takut kepada mereka masih berdegil!