Empat maut dihempap pokok: Mohd Radzi aktif dalam politik sejak usia muda - Bapa

A
A
A

TEMERLOH - Rahimi Abd Samad, bapa kepada Allahyarham Mohd Radzi Rahimi, 40, menyifatkan anaknya itu sebagai seorang yang aktif dalam politik sejak usia muda.

Rahimi, 63, berkata, Allahyarham telah berkhidmat kira-kira 10 tahun dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Maran sehingga dipilih menjadi ketua pemuda bahagian itu dan dilantik menjawat jawatan Bendahari Pemuda UMNO Pahang.

"Beliau memang seorang yang aktif. Ramai (ahli UMNO) yang rapat dengannya… Ketua Pemuda UMNO (Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh) pun nak datang (ziarah) arwah sebab arwah adalah Bendahari Pemuda UMNO,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada Isnin.

Mohd Radzi bersama isteri Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak Muhammad Rizz Hazim, lima tahun serta adik ipar Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, terkorban selepas pacuan empat roda yang dinaiki terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke pintu gerbang Janda Baik, Bentong kira-kira jam 1 tengah hari Isnin.

Dalam kejadian sama, seorang lagi anaknya, Muhammad Rizz Haziq mengalami kecederaan parah pada kepala dan sedang menerima rawatan di HoSHAS.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut, seorang kanak-kanak cedera kenderaan dinaiki dihempap pokok

Tragedi kenderaan dihempap pokok tumbang: Ketua Pemuda UMNO Maran, tiga ahli keluarga maut

Asyraf Wajdi zahir ucapan takziah kepada keluarga Ketua Pemuda UMNO Maran

Empat maut dihempap pokok: 'Pemergian Mohd Radzi kehilangan besar buat UMNO Pahang'

Artikel Berkaitan:

Pemergian Mohd Radzi kehilangan besar kepada keluarga UMNO - Ahmad Zahid

Dalam pada itu, Rahimi berkata, ketika kejadian Allahyarham bersama keluarga dalam perjalanan pulang ke Maran selepas menyertai program motosikal bersama belia Maran di Pulau Pangkor, Perak.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Allahyarham adalah pada Khamis sebelum beliau pergi ke Pangkor… Semuanya macam biasa, beliau cuma beritahu hendak sertai konvoi motosikal ke Pangkor bersama kawan-kawan,” katanya.

Antara pemimpin yang menziarahi keluarga berkenaan ialah Muhamad Akmal; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran dan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar.

Proses bedah siasat semua jenazah telah dilaksanakan pada jam 9 malam tadi.

Selepas proses bedah siasat, difahamkan kesemua jenazah akan dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas di sini untuk dimandikan dan dikafankan.

Kesemua jenazah akan dibawa ke Masjid As-Syakirin, Maran untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Chendung. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!