Lokap di Kelantan dijamin mencukupi tampung tangkapan penagih dadah setiap hari

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan memberi jaminan kapasiti lokap di 56 buah balai polis di negeri ini masih mencukupi dan tidak berdepan masalah kesesakan bagi pelaksanaan tangkapan seorang penagih dadah setiap hari yang bermula 15 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini tiada isu lokap penuh kerana jumlah tahanan masih mampu ditampung.

"Alhamdulillah, keadaan lokap masih mencukupi dan tidak timbul sebarang masalah.

"Kita sudah membuat pelan strategik dan bersasar iaitu ketua balai tangkap penagih di kawasannya manakala Ketua Bahagian Narkotik Daerah dan Ketua Jabatan Narkotik Kontinjen menyasarkan pengedar termasuk tokan besar," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau hadir pada Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Tunjong di sini.

Hadir sama ialah Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad.

Terdahulu pada 21 Julai, Polis Kelantan mewajibkan semua 56 ketua balai polis di seluruh negeri wajib menangkap seorang penagih dadah setiap hari.

Pendekatan yang mula dilaksanakan pada 15 Julai lalu itu merupakan pelan strategik baharu bagi memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Menurut beliau, meskipun kes dadah di Kelantan mencatatkan penurunan, langkah tangkapan seorang penagih setiap hari tetap perlu dilakukan sepanjang tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, tangkapan perlu dijalankan kerana masih banyak dalam kalangan masyarakat bercakap mengenai kes dadah dan penagih yang berleluasa di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!