'Kerjasama Polis Kelantan, JAHEAIK, MAIK kurangkan jenayah rogol suka sama suka' - Mohd Yusoff

Mohd Yusoff (kiri) semasa hadir pada Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Tunjung, Kota Bharu pada Ahad. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Yusoff (kiri) semasa hadir pada Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Tunjung, Kota Bharu pada Ahad. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU - Kerjasama erat Polis Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjaya mengurangkan jenayah rogol melibatkan hubungan seksual suka sama suka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kerjasama itu diwujudkan kerana sebelum ini tindakan undang-undang hanya boleh diambil terhadap pihak lelaki, sedangkan siasatan mendapati kebanyakan kes melibatkan persetujuan kedua-dua pihak.

Menurut beliau, walaupun berlaku dalam keadaan suka sama suka, kes membabitkan mangsa berusia bawah 16 tahun tetap diklasifikasikan dan didakwa sebagai kes rogol mengikut peruntukan undang-undang.

"Sebelum ini kita hanya mengambil tindakan terhadap pihak lelaki. Jadi kita melihat perlunya kerjasama dengan MAIK dan JAHEAIK kerana kes yang melibatkan mangsa bawah umur 16 tahun tetap didakwa sebagai kes rogol mengikut undang-undang, walaupun berlaku dalam keadaan suka sama suka," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau hadir pada Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Tunjong di sini.

Hadir sama ialah Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad.

Menurut Mohd Yusoff, kerjasama itu memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan terhadap kes-kes perzinaan yang dikenal pasti menjadi antara faktor menyumbang kepada jenayah seksual melibatkan remaja.

Ujarnya, hasil pelaksanaan pendekatan bersepadu itu menunjukkan perkembangan positif dengan penguatkuasaan yang dijalankan mula membuahkan hasil.

"Alhamdulillah, setakat ini kerjasama yang baik daripada pihak MAIK dan JAHEAIK melalui penguatkuasaan telah menunjukkan keberkesanan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu memperluaskan lagi peranan semua pihak berkepentingan supaya masing-masing memainkan tanggungjawab di semua peringkat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, berdasarkan rekod Polis Kelantan, hampir 90 peratus kes rogol yang disiasat di negeri ini melibatkan hubungan suka sama suka dan bukannya rogol secara paksaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan semua kes yang melibatkan mangsa bawah umur 16 tahun tetap disiasat serta didakwa sebagai kes rogol mengikut undang-undang sedia ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!