X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada maaf siapa ingkar PKP: KPN

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menangkap individu yang terus memberi alasan tidak munasabah ketika sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, langkah itu dilihat perlu bagi memastikan semua pihak termasuk orang ramai mematuhi PKP fasa ketiga yang bermula hari ini.

“PDRM dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan berusaha lebih gigih lagi untuk sekat mereka yang bergejala dari bergerak bebas dan akhirnya menjangkiti lebih ramai orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, polis juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja didapati tidak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan ketika ini.

“Jika sekiranya tertangkap, tiada maaf bagimu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pertambahan jumlah kenderaan di sesetengah lokasi yang tular di media sosial semalam.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PDRM boleh menangkap individu didapati melanggar arahan PKP fasa ketiga dan diberi kuasa untuk menahan seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya, tindakan itu diambil susulan sikap segelintir rakyat yang kini dilihat tidak mengendahkan arahan kerajaan untuk berada di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tahan, reman dan terus hadap ke mahkamah'

Mengulas lanjut mengenai tempoh PKP akan dilanjutkan untuk fasa seterusnya, Abdul Hamid berkata, perkara itu boleh berlaku jika orang ramai terus ingkar dengan arahan PKP.

“Jika orang ramai terus berdegil dan penyakit ini terus merebak maka pasti PKP boleh dilanjutkan oleh kerajaan,” katanya.

Sejak 18 Mac lalu hingga semalam, PDRM merekodkan 14,992 tangkapan di seluruh negara terhadap individu yang mengingkari arahan PKP.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!