Perak minta Jabatan Pertanian kemuka pelan tindakan tangani kesan cuaca ekstrem

Mohd Zolkafly (tiga dari kanan) menyempurnakan perasmian Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Bota di pekarangan Dewan Orang Ramai Batu 30, RPA Gelung Pepuyu di sini pada Sabtu.
Mohd Zolkafly (tiga dari kanan) menyempurnakan perasmian Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Bota di pekarangan Dewan Orang Ramai Batu 30, RPA Gelung Pepuyu di sini pada Sabtu.
A
A
A

PARIT – Kerajaan Perak meminta Jabatan Pertanian negeri mengemukakan pelan tindakan bagi menangani kesan cuaca ekstrem termasuk fenomena El Nino yang mula menjejaskan sektor pertanian di negeri ini khususnya kawasan jelapang padi.

Exco Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, antara kawasan yang dikenal pasti terkesan ialah daerah Parit apabila pesawah berdepan masalah bekalan air ke sawah susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, isu berkenaan telah dibangkitkan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan langkah bersesuaian dirangka untuk membantu golongan pesawah yang terjejas.

"Kita memang tidak boleh mengelakkan keadaan cuaca yang ekstrem seperti El Nino. Baru-baru ini saya mengadakan lawatan ke daerah Perak Tengah dan kita dapati memang ada kesan apabila air tidak dapat disalurkan ke sawah yang diusahakan pesawah.

"Perkara ini telah saya bangkitkan kepada kerajaan negeri dan kita akan berbincang mengenai bentuk bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan kepada pesawah yang terjejas," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Bota di pekarangan Dewan Orang Ramai Batu 30, RPA Gelung Pepuyu di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar, Sarah Syazwani Saari; Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Abdul Rahman dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Mohd Zolkafly berkata, Jabatan Pertanian kini sedang menyediakan beberapa cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan.

"Antara yang dipertimbangkan ialah kemungkinan menyalurkan sumbangan ihsan sebagai tanda simpati kepada pesawah, bukannya dalam bentuk ganti rugi.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Pertanian telah mengambil tindakan dan akan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri mengenai langkah yang bersesuaian untuk dilaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri sedang giat membuat persiapan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Menurutnya, beberapa kelainan dan elemen kejutan bakal ditampilkan oleh Perak pada pameran berkaitan pertanian terbesar itu.

TAMAT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!