Covid-19: 6,900 tentera darat bertugas bantu laksanakan PKP

Ahmad Hasbullah menyampaikan cenderahati kepada Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah sambil disaksikan Zainuddin (tengah) ketika melakukan pemantauan Sekatan Jalan Raya di sini hari ini.
Ahmad Hasbullah menyampaikan cenderahati kepada Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah sambil disaksikan Zainuddin (tengah) ketika melakukan pemantauan Sekatan Jalan Raya di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 6,900 anggota tentera darat digerakkan dalam Ops Penawar berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi penugasan sekatan jalan raya serta rondaan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, keanggotaan itu turut membabitkan 1,030 Askar Wataniah yang dikerahkan bertugas bagi membantu pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan koronavirus (Covid-19).

"Saya selaku peneraju Ops Penawar peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuat lawatan ke beberapa buah negeri antaranya Pahang, Perak, Johor dan Kedah.

"Daripada pemantauan itu, saya perhatikan masih banyak kenderaan yang bergerak, berkemungkinan mereka keluar mengikut tujuan berdasarkan perkara yang diberi kelonggaran sama ada untuk bekerja dan sebagainya,"katanya ketika memantau sekatan jalan raya berdekatan Plaza Tol Sungai Petani Utara di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob.

Menurut beliau, sekatan jalan raya dan rondaan yang dibuat dalam tempoh PKP fasa satu dan PKP fasa dua, telah memberi impak positif apabila pematuhan telah mencecah sehingga 97 peratus di peringkat nasional.

Menyentuh isu pencerobohan sempadan pula, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang membolosi laluan tikus terutama sempadan negara.

"Perlu diingatkan sebelum penularan Covid-19 ini pun kita telah gerakkan 5,000 anggota tentera yang sentiasa mengawal sempadan termasuk di lorong tikus dan sebagainya, itu pun masih boleh dibolosi. Maknanya ada komplot daripada dalang yang ingin mengaut keuntungan. Saya harap mereka ini berhenti, terutama ketika negara berdepan penularan virus Covid-19 dan dalam masa sama kita sentiasa bersiap-siaga mendepani sebarang kemungkinan rentas sempadan yang boleh menyebabkan risiko penularan,"katanya.

Pada masa sama beliau menyarankan rakyat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam usaha membolehkan orang awam mematuhi arahan dikuatkuasakan kerajaan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketua keluarga harus memainkan peranan agar setiap isi rumah mematuhi arahan PKP bagi membendung Covid-19 daripada terus menular.