Laporan RCI sahkan lima isu utama Tabung Haji - Rafizi

SHAH ALAM - Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mengesahkan lima isu utama termasuk berlakunya transaksi mencurigakan dan pembayaran hibah ketika rizab berada dalam negatif sehingga memaksa kerajaan melaksanakan pelan penyelamatan (bail-out).
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, laporan RCI itu mengesahkan pelbagai transaksi yang mencurigakan dan menyembunyikan maklumat telah berlaku sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
Beliau yang juga Bekas Menteri Ekonomi berkata, laporan sama mendapati rizab Tabung Haji (TH) menjadi negatif sejak tahun kewangan 2015 dan memuncak 2017 sehingga memaksa kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad meluluskan satu pelan penyelamatan bernilai RM19.9 bilion.
ARTIKEL BERKAITAN: 'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid
'RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO 'sakau?' - Akmal Saleh
Penerbitan laporan penuh RCI Tabung Haji perkukuh ketelusan, amanah tadbir urus institusi – IKIM
RCI: RM88 bilion perlu diaktifkan jika TH gagal pelan pemulihan
RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi
RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas
Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula
RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik
Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH
RCI Tabung Haji: Amalan bonus terlalu tinggi perlu dihentikan
RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535
RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa
RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH
"Selain itu, hibah atau keuntungan tetap diagihkan kepada pendeposit antara 2014 hingga 2017 walaupun rizab Tabung Haji menjadi negatif demi populariti politik UMNO/BN, yang menjadikan Tabung Haji beroperasi sebagai 'skim cepat kaya' dengan menggunakan simpanan pendeposit baru untuk dipusing modal membayar dividen kepada pendeposit lain.
"Laporan itu menyatakan TH telah mencipta peraturan perakaunan dalaman bagi membolehkan hibah dibayar ketika rizab negatif walaupun ia bertentangan dengan akta dan peraturan pelaporan kewangan Malaysia dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, isu kelima pula menunjukkan pelan penyelamatan TH berjumlah RM27.8 bilion pada nilai akhir semasa matang melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) hanyalah satu tindakan sementara bergantung kepada kemampuan Kerajaan Persekutuan melunaskan komitmen 'bail out' apabila tiba tarikh matang.
Justeru, Ahli Parlimen Pandan terbabit bersetuju dengan hampir semua saranan dikemukakan ahli-ahli RCI termasuk semua Ahli Lembaga Pengarah TH, anak-anak syarikat TH dan pegawai-pegawai kanan membuat keputusan perlu dipertanggungjawabkan.
Beliau juga menyokong saranan supaya siasatan perakaunan forensik perlu dibuat bersama-sama dengan siasatan jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan mana-mana agensi penguatkuasaan serta penyelia.
"Kerajaan perlu memutuskan dengan telus dan berterus terang mengenai model pembiayaan haji untuk memastikan beban subsidi haji tidak terus meningkat hingga mengancam kelangsungan Tabung Haji," ujar Rafizi lagi.
Tegasnya, beberapa perkara memerlukan tindakan lebih tegas termasuklah keperluan Malaysia mengkanunkan secara undang-undang satu bentuk kesalahan kepada pembuat keputusan apabila berlaku penyelewengan di bawah seliaan mereka, walaupun mereka mengaku tidak mendapat laba daripada penyelewengan itu.
Dalam pada itu, Rafizi menambah, kes TH adalah sesuatu yang peribadi kepada dirinya kerana menjadi ahli politik yang pertama yang mendedahkan kedudukan rizab institusi Islam yang negatif bermula dari tahun kewangan 2015.
Beliau memberitahu, perkara itu dibawa ke parlimen seawal Mac 2016 diikuti 34 pendedahan lain antara 2016 hingga 2018 mengenai salah laku, pelaburan lesap dan keterlibatan TH dalam skandal 1MDB sepanjang pentadbiran bekas Perdana Menteri ketika itu.
"Saya telah ditangkap, didakwa dan hampir dipenjarakan. Selama sedekad saya menjadi bahan fitnah kononnya menghasut orang Islam untuk memusnahkan Tabung Haji," katanya.
Beliau memberitahu, hasil pendedahan terbabit juga telah menjadi modal politik kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH selama sedekad.
Rafizi berpandangan, isu laporan RCI Tabung Haji kali ini pun timbul berikutan ucapan-ucapannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang mengkrtik kompromi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan UMNO hingga laporan RCI diperam selama lebih tiga tahun.
"Apa pun, saya bersyukur laporan ini telah didedahkan untuk memberi peluang kepada orang ramai membaca dan menilai sendiri selain dari membersihkan nama saya dari fitnah lawan politik terhadap saya mengenai Tabung Haji," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

