'RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO 'sakau?' - Akmal Saleh

Hantaran Facebook Akmal Saleh pada Khamis.
Hantaran Facebook Akmal Saleh pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh membangkitkan persoalan siapakah ahli politik UMNO yang didakwa terlibat dalam perbuatan 'sakau', sedangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji tidak menunjukkan perkara sedemikian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, laporan RCI yang telah dikeluarkan hanya menunjukkan tindakan dalaman terhadap pegawai Tabung Haji susulan kelemahan dalam aspek pengurusan.

"Alhamdulillah laporan RCI dah dikeluarkan. Jadi siapa orang politik UMNO yang terlibat dan dikatakan sakau?

"Yang ada adalah tindakan dalaman kepada pegawai Tabung Haji akibat pengurusan yang lemah," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.

Dalam hantaran sama, Akmal Saleh turut memuat naik ringkasan Laporan RCI Tabung Haji yang disediakan oleh seorang individu, Khairul Azri bagi memberi gambaran mengenai dapatan utama suruhanjaya itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan krisis yang melanda TH berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan pengurusan, bukannya disebabkan salah guna kuasa.

Laporan dapatan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 menyatakan, pelbagai masalah yang berlaku adalah hasil gabungan beberapa faktor.

Menurut laporan itu, ia termasuk pembayaran hibah yang tidak mampan, keputusan pelaburan berisiko tinggi, amalan perakaunan yang tidak sesuai serta kelemahan sistem tadbir urus.

Justeru, Akmal Saleh turut membangkitkan persoalan sama ada kerugian yang berlaku berpunca daripada unsur rasuah atau kegagalan tadbir urus dalam kalangan pegawai yang mentadbir TH.

"Adakah pemberian dividen yang tinggi kepada penyimpan dan subsidi yang tinggi kepada jemaah haji dianggap sakau?" soal beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!