Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula

RCI mencadangkan perkara itu selepas mendapati Akta Tabung Haji 1995 membolehkan Menteri membatalkan pelantikan anggota Lembaga pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan alasan.
RCI mencadangkan perkara itu selepas mendapati Akta Tabung Haji 1995 membolehkan Menteri membatalkan pelantikan anggota Lembaga pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan alasan.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kuasa yang diberikan kepada Menteri untuk menamatkan perkhidmatan Pengerusi atau anggota Lembaga Tabung Haji (TH) tanpa perlu memberikan sebarang alasan wajar dikaji semula bagi memastikan tadbir urus institusi itu lebih telus dan bebas daripada campur tangan.

Syor itu dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas mendapati peruntukan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) membolehkan Menteri membatalkan pelantikan mana-mana anggota Lembaga pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan sebab.

Menurut laporan RCI, kuasa berkenaan telah digunakan dalam dua keadaan, iaitu penamatan perkhidmatan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH pada 5 Mei 2021 sebelum kontraknya berakhir pada 31 Ogos 2021, selain penamatan perkhidmatan Tan Sri Md Nor Md Yusof sebagai Pengerusi TH pada 15 Oktober 2021 sebelum tamat tempoh lanjutan kontraknya.

Suruhanjaya berpandangan peruntukan yang membolehkan penamatan perkhidmatan dibuat tanpa justifikasi tidak lagi selaras dengan amalan tadbir urus yang baik kerana berpotensi menjejaskan kebebasan serta kestabilan kepimpinan TH.

Pada Rabu, Jemaah Menteri bersetuju menyahklasifikasikan dan mendedahkan Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 selepas menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH serta memperhalusi kandungan laporan itu dalam mesyuarat Kabinet.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Dokumen setebal 211 halaman dalam format dokumen mudah alih (PDF) itu dimuat naik di laman web JAKIM malam ini dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.

Ia turut mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

RCI turut mengaitkan syor berkenaan dengan kelemahan Akta 535 yang memberi kuasa luas kepada Menteri dalam aspek tadbir urus TH.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini termasuk pelantikan dan penamatan perkhidmatan Pengerusi serta anggota Lembaga.

Pada masa sama, akta itu tidak menetapkan kriteria kelayakan yang jelas bagi pelantikan anggota Lembaga selain syarat beragama Islam dan warganegara Malaysia.

Sehubungan itu, suruhanjaya mengesyorkan Akta 535 dipinda dengan memperkenalkan mekanisme yang lebih jelas bagi pelantikan dan penamatan perkhidmatan kepimpinan TH.

Selain itu, RCI turut mengesyorkan agar syarat kelayakan profesional ditetapkan kepada anggota Lembaga bagi memastikan institusi itu diterajui individu yang berpengalaman dalam bidang kewangan, ekonomi, perniagaan, perakaunan atau disiplin berkaitan.

Menurut RCI, pindaan itu penting bagi memperkukuh tadbir urus TH, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan setiap keputusan pengurusan dibuat secara profesional, telus dan bebas daripada sebarang pengaruh yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!