RCI: RM88 bilion perlu diaktifkan jika TH gagal pelan pemulihan

TH terdedah kepada risiko strategik yang boleh memberi kesan kepada ekosistem kewangan negara. Gambar hiasan
TH terdedah kepada risiko strategik yang boleh memberi kesan kepada ekosistem kewangan negara. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaminan kerajaan kepada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang kini bernilai RM88 bilion perlu diaktifkan sekiranya TH gagal melaksanakan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH 2018, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan semalam, suruhanjaya itu berkata kerajaan perlu mengambil perhatian serius mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH 2018 bagi memastikan objektifnya tercapai.

"Jika LTH gagal, jaminan Kerajaan (seksyen 24 Akta 535) kepada pendeposit yang sekarang bernilai RM88 bilion terpaksa diaktifkan.

"Dalam keadaan sedemikian, bukan sahaja TH akan menanggung akibatnya tetapi kedudukan kewangan kerajaan akan turut terjejas dan ini mengancam kestabilan sistemik kewangan negara,” menurut laporan itu. 

RCI turut berpandangan bahawa instrumen sukuk boleh diperkukuh sekiranya disokong jaminan kerajaan.

Secara keseluruhannya, suruhanjaya itu mendapati, TH terdedah kepada risiko strategik yang boleh memberi kesan kepada ekosistem kewangan negara.

Menurut laporan itu, isu yang dihadapi TH berpotensi membawa kepada krisis kewangan negara yang lebih besar dan memberi impak kepada keyakinan pelabur terhadap Malaysia serta kemampanan pertumbuhan ekonomi negara serta kelangsungan TH melaksanakan fungsinya, jelas RCI.

"Suruhanjaya difahamkan bahawa tindakan segera perlu dilaksanakan dalam masa yang singkat untuk memulihkan kedudukan kewangan TH sebelum berakhir tahun kewangan 2018,” katanya.

Sehubungan dengan itu, bagi menilai pelan pemulihan TH berkenaan, sebuah Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan yang dianggotai oleh wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan serta pengurusan kanan TH.

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan

RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi

RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas

Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula

RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik

Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH

Jawatankuasa itu telah mempertimbangkan pelan yang efektif bersandarkan empat teras utama.

Bagi teras yang pertama, pelan itu perlu melindungi kepentingan hampir 9.3 juta pendeposit TH, di samping memastikan kelangsungan fungsi utama TH iaitu dalam pengurusan haji.

Pada masa sama, pelan tersebut perlu mengembalikan keupayaan TH mengagihkan keuntungan (hibah) kepada pendeposit selaras sepenuhnya dengan Akta Tabung Haji 1995.

Selain itu, pelan berkenaan juga perlu meminimumkan impak terhadap kedudukan fiskal negara serta mengelakkan sebarang risiko yang boleh menggugat kestabilan ekonomi, menurut suruhanjaya itu.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!