RCI Tabung Haji: Semua terlibat wajar diheret ke muka pengadilan - CAP

Mohideen menggesa Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyegerakan siasatan.
Mohideen menggesa Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyegerakan siasatan.
A
A
A

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam salah guna kuasa, penyelewengan kewangan dan pecah amanah susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, laporan RCI yang telah dinyahklasifikasikan itu membuktikan berlaku kegagalan tadbir urus yang serius dalam TH, didakwa berpunca daripada campur tangan politik serta amalan perakaunan yang mengelirukan sehingga menjejaskan keyakinan jutaan pendeposit.

Menurutnya, pendedahan berkenaan bukan sekadar mencerminkan kegagalan institusi malah merupakan satu pengkhianatan moral terhadap amanah rakyat yang menyimpan wang bagi menunaikan ibadah haji.

“Selama berdekad-dekad, TH menjadi lambang pengurusan kewangan Islam yang diyakini di dalam dan luar negara namun dapatan RCI menunjukkan institusi itu telah dijadikan medan percaturan politik.

“Keadaan ini turut mencalarkan reputasi Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam di peringkat antarabangsa kerana TH sebelum ini sering dijadikan model rujukan oleh banyak negara Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohideen berkata, lebih membimbangkan apabila pendedahan itu turut menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang berteraskan nilai-nilai Islam.

Tambahnya, apabila institusi yang ditubuhkan atas prinsip amanah dan keadilan disalahgunakan untuk kepentingan tertentu, ia bukan sahaja menjejaskan keyakinan terhadap pengurusan kewangan malah menimbulkan rasa dikhianati dalam kalangan pendeposit.

Beliau berkata, antara dapatan paling membimbangkan dalam laporan RCI ialah TH didakwa mengisytiharkan keuntungan RM3.4 bilion pada 2017 sedangkan mengikut piawaian pelaporan kewangan yang sewajarnya, institusi itu sebenarnya mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion.

“Dakwaan wujud jurang kira-kira RM4.8 bilion akibat manipulasi penilaian aset dan kegagalan merekodkan kerugian susut nilai menunjukkan berlakunya penyelewengan serius dalam pelaporan kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Malah TH dikatakan telah mengalami defisit aset berbanding liabiliti sejak 2014 tetapi masih meneruskan pembayaran hibah melebihi kemampuan kewangannya sehingga menjejaskan modal pendeposit,” ujarnya.

Beliau turut mendakwa bonus berlebihan dibayar kepada pengurusan dan ahli lembaga pengarah walaupun TH berada dalam keadaan kewangan yang meruncing.

Sehubungan itu, CAP menggesa Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyegerakan siasatan serta pendakwaan terhadap semua pihak yang didapati terlibat tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

"Selain itu, Akta Tabung Haji 1995 perlu dipinda bagi mengurangkan kuasa menteri dalam urusan pentadbiran TH serta melarang ahli politik aktif memegang jawatan dalam lembaga pengarah atau pengurusan institusi berkenaan.

“CAP juga mencadangkan supaya operasi pelaburan TH dipantau secara lebih bebas di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia bagi memperkukuhkan tadbir urus serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!