Kerajaan digesa perhebat operasi, dedah senarai jenama rokok sah - MSCSPGA

KUALA LUMPUR - Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) menggesa kerajaan meneruskan penguatkuasaan secara konsisten terhadap perdagangan rokok haram serta menerbitkan senarai jenama rokok yang berdaftar secara sah bagi memudahkan peniaga dan pengguna mengenal pasti produk yang dibenarkan di pasaran.
Gesaan itu dibuat susulan dapatan tinjauan persepsi pengguna oleh Wawasanex yang mendapati 68.8 peratus responden mengenal pasti penjual rokok haram terdiri daripada warga asing, manakala 99 peratus berpendapat rokok seludup mudah atau sangat mudah diperoleh di negara ini.
Presiden MSCSPGA, Wong Teu Hoon berkata, dapatan tersebut selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen perniagaan dan visa.
Menurutnya, penyalahgunaan lesen dan permit telah membuka ruang kepada kegiatan penjualan rokok haram di peringkat peruncitan, termasuk melibatkan pekerja asing.
“Ahli-ahli kami menjalankan perniagaan secara sah untuk masyarakat di seluruh negara. Penjualan rokok haram yang semakin berleluasa bukan sahaja menjejaskan peruncit yang mematuhi undang-undang, malah memperlihatkan wujudnya kelemahan dalam pemantauan yang membolehkan kegiatan ini terus berkembang.
“Keadaan ini perlu ditangani melalui penguatkuasaan yang lebih tegas serta kebertanggungjawaban semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengedaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, rokok haram yang dijual pada harga kurang daripada separuh harga produk sah mewujudkan persaingan tidak adil kepada peniaga yang mematuhi undang-undang, selain menyebabkan kerajaan dianggarkan kehilangan hasil cukai kira-kira RM5 bilion setiap tahun.
Menurut Teu Hoon, peruncit juga berdepan kesukaran membezakan antara produk sah dan produk haram kerana ketiadaan rujukan rasmi yang mudah diakses.
Katanya, keadaan itu menyukarkan peniaga kecil yang pada masa sama berdepan peningkatan kos operasi termasuk sewa premis, utiliti, tenaga kerja dan bahan mentah.
“Bersaing dengan produk haram yang dijual secara terbuka pada harga jauh lebih murah adalah sesuatu yang tidak mampan bagi perniagaan yang mematuhi undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan sama turut mendapati 87 peratus responden menyokong hukuman lebih berat dikenakan terhadap pihak yang terbabit dalam perdagangan rokok haram.
Sehubungan itu, MSCSPGA menggesa tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada penjual di peringkat hadapan, sebaliknya diperluaskan kepada individu atau pihak yang memudah cara kegiatan tersebut, termasuk penyalahgunaan permit kerja dan lesen perniagaan.
Persatuan itu turut mencadangkan agar operasi penguatkuasaan dijalankan secara berkala dan berterusan bagi mengelakkan pengendali haram kembali beroperasi selepas sesuatu operasi dijalankan.
“Penguatkuasaan tidak boleh bersifat bermusim atau sekali sahaja. Ia perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan penjual rokok haram tidak terus beroperasi secara terbuka sehingga menjejaskan peruncit sah,” katanya.
Selain itu, MSCSPGA menggesa Kementerian Kesihatan menerbitkan senarai awam jenama rokok yang diluluskan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 sebaik sahaja sesuatu produk mendapat kelulusan.
Menurut Teu Hoon, langkah itu akan memberikan rujukan rasmi kepada peruncit dan pengguna untuk mengesahkan status sesuatu produk, sekali gus menyukarkan rokok haram memasuki pasaran.
“Melindungi perniagaan yang sah memerlukan lebih daripada sekadar penguatkuasaan. Kita juga memerlukan ketelusan yang lebih tinggi supaya peruncit dan pengguna dapat mengenal pasti produk yang sah dengan mudah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
