Tak sempat sampai, dua motosikal terbakar dalam perjalanan ke program RXZ Members

Keadaan motosikal jenis Yamaha RXZ yang hangus terbakar dalam kejadian kemalangan di Kilometer 100 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Politeknik Muadzam Shah, Rompin pada malam Khamis. Foto Polis Rompin.

A
A
A

ROMPIN - Perjalanan dua penunggang motosikal ke program RXZ Members di Terengganu berakhir tragedi apabila motosikal yang ditunggang mereka terbakar di Kilometer 100 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Politeknik Muadzam Shah di sini pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Bhai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu melibatkan sebuah Yamaha RXZ dan sebuah Suzuki TXR150 yang dalam perjalanan dari arah Johor menuju ke Terengganu.

Sebuah lagi motosikal jenis Suzuki TXR150 yang turut musnah terbakar keseluruhan bahagian selepas terlibat dalam kemalangan berkenaan. Foto Polis Rompin.
Sebuah lagi motosikal jenis Suzuki TXR150 yang turut musnah terbakar keseluruhan bahagian selepas terlibat dalam kemalangan berkenaan. Foto Polis Rompin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang Yamaha RXZ berusia 41 tahun dipercayai terjatuh di atas jalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Dalam masa sama, sebuah Suzuki TXR150 yang ditunggang lelaki berusia 34 tahun datang dari arah belakang di laluan sama sebelum melanggar motosikal berkenaan.

Kawasan bahu jalan yang menjadi lokasi dua motosikal terseret dan terbakar di Jalan Kuantan-Segamat. Foto Polis Rompin
Kawasan bahu jalan yang menjadi lokasi dua motosikal terseret dan terbakar di Jalan Kuantan-Segamat. Foto Polis Rompin

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua motosikal terseret di atas permukaan jalan sebelum terbakar manakala kedua-dua penunggang berjaya diselamatkan oleh orang awam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penunggang Yamaha RXZ mengalami kecederaan pada tangan kiri selain luka pada badan, tangan dan kaki.

Jelas Sharif Bhai, seorang lagi penunggang Suzuki TXR150 mengalami kecederaan di bahagian kepala serta luka pada tangan, kaki dan badan.

Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 100 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Politeknik Muadzam Shah yang menyaksikan dua motosikal terbakar selepas terlibat kemalangan pada malam Khamis. Foto Polis Rompin.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah bagi menerima rawatan kecemasan dan masih dirawat," katanya.

Sharif Bhai memberitahu, pemeriksaan di lokasi mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dua lorong dua hala dengan permukaan jalan rata dan kering.

Menurutnya, keadaan di lokasi ketika kejadian adalah gelap tanpa lampu jalan, manakala cuaca dilaporkan baik serta tidak hujan.

Kawasan bahu jalan yang menjadi lokasi dua motosikal terseret dan terbakar di Jalan Kuantan-Segamat. Foto Polis Rompin
Kawasan bahu jalan yang menjadi lokasi dua motosikal terseret dan terbakar di Jalan Kuantan-Segamat. Foto Polis Rompin

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang Yamaha RXZ terjatuh sebelum dilanggar motosikal yang datang dari arah belakang di laluan sama," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!