SPRM-JKDM perlu perjelas peranan pasukan khas tangani ketirisan pelabuhan

SHAH ALAM – Penubuhan pasukan petugas khas antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membanteras ketirisan hasil negara disifatkan sebagai langkah tepat, namun peranan, bidang kuasa dan mekanisme pelaksanaannya perlu diperjelaskan bagi memastikan inisiatif itu benar-benar berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua agensi itu mampu memperkukuh penguatkuasaan, khususnya membabitkan pengurusan kontena, penyeludupan, pemalsuan dokumen serta cubaan mengelak pembayaran cukai.
"Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada penjelasan terperinci mengenai cara pasukan petugas khas itu akan beroperasi.
"Kita juga perlu mengetahui sama ada pasukan itu akan memberi tumpuan kepada aspek pemantauan, pencegahan atau tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad di Ibu Pejabat SPRM.

Menurut beliau, kedua-dua agensi turut bertukar pandangan mengenai cabaran pelaksanaan tugas, termasuk pemeriksaan kastam, kerenah birokrasi serta isu operasi yang dihadapi JKDM.
Katanya, pertemuan itu turut memberi fokus kepada mekanisme membanteras ketirisan dalam pengurusan kontena di bawah bidang kuasa JKDM di pelabuhan seluruh negara.
Sementara itu, Amran berkata, JKDM berkongsi maklumat mengenai modus operandi sindiket yang cuba mengelak pembayaran cukai, termasuk melalui aktiviti penyeludupan serta pemalsuan maklumat dan dokumen bagi mendapatkan kelulusan di bawah kategori tertentu.
Mengulas lanjut, Jeyenderan berkata, penjelasan lebih menyeluruh juga diperlukan mengenai kaedah mengukur keberkesanan pasukan petugas khas berkenaan, termasuk sama ada dapatan dan hasil pemantauannya akan dilaporkan kepada masyarakat.
Menurut beliau, ketelusan amat penting dalam isu melibatkan hasil negara bagi memastikan usaha membanteras ketirisan tidak sekadar menjadi simbol kerjasama antara agensi, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan berimpak.
"Kerjasama SPRM dan JKDM sememangnya langkah yang positif untuk memperkukuh integriti sistem perdagangan negara.
"Namun, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang jelas, pemantauan berterusan serta pelaporan yang telus bagi meningkatkan keyakinan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

