Penunggang RXZ maut akibat kereta buat pusingan U mengejut

A
A
A

TUMPAT – Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ maut selepas merempuh bahagian sisi kanan sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai membuat pusingan U secara mengejut di Kampung Bunohan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, pemandu kereta terbabit dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, menunggang Yamaha RXZ dari Chabang Empat menuju ke Kampung Banggol Beta melalui Jalan Tumpat-Pasir Mas.

"Setiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Wira yang berada di hadapan dan bergerak sehala dipercayai membuat pusingan U secara mengejut.

"Mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kanan kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambahnya, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah kecederaan pelbagai akibat kemalangan jalan raya.

Mohd Khairi memberitahu, pemandu Proton Wira terbabit dipercayai melarikan diri selepas kemalangan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat atau menghubungi talian 09-7257222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!