Dua nelayan berdepan hukuman gantung sampai mati

Dua nelayan warga Indonesia dihadapkan ke mahkamah di atas dua pertuduhan mengedar dadah.
Dua nelayan warga Indonesia dihadapkan ke mahkamah di atas dua pertuduhan mengedar dadah.
A
A
A

BALIK PULAU - Dua nelayan warga Indonesia dihadapkan ke mahkamah di atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 147.2 kilogram (kg) di perairan Teluk Kumbar, Bayan Lepas pada dua minggu lalu.

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Junaidi, 51, dan Irfansyah, 30, di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Bagaimanapun, hanya Irfansyah yang mengangguk faham manakala Junaidi memberitahu mahkamah bahawa dia tidak memahami kedua-dua pertuduhan tersebut kerana hanya memahami bahasa asli Indonesia.

Datuk Naran Singh yang merupakan peguam yang mewakili mereka kemudiannya terpaksa menerangkan setiap butiran pertuduhan kepada Junaidi dan dia memahaminya.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh dari Acheh itu didakwa bersama-sama telah mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 113.776 kg manakala pertuduhan kedua, mereka dituduh mengedar dadah berbahaya jenis cecair methamphetamine seberat 33.412 kg.

Kedua-dua tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau untuk dibacakan pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine.
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau untuk dibacakan pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kedudukan GPS Lat: 05 darjah 07.045 N Long: 100 darjah 14.063 E di kawasan perairan Teluk Kumbar, Bayan Lepas pada ham 7.15 petang, 17 Julai lalu.

Oleh demikian, mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Menurut Naran, hanya Junaidi mempunyai pasport yang sah manakala Irfansyah tiada.

Katanya lagi, bagi kes di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tiada pengakuan yang boleh direkodkan berikutan ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar terhadap kedua-dua tertuduh.

Huey Ting kemudiannya menetapkan 30 September untuk menunggu laporan kimia bagi kes dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah ke Indonesia selepas merampas dadah dan rokok elektronik mengandungi cecair disyaki methamphetamine bernilai hampir RM6 juta.

Rampasan itu dibuat dalam operasi di perairan selatan Pulau Rimau pada 17 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam Op Taring Gelora itu, suspek ditahan selepas bot fiber yang dinaiki mereka berjaya dipintas dalam aksi mengejar selama setengah jam di laut.

Beliau menambah, pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 113.7 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM5.7 juta yang disembunyikan di dalam ruang khas di bahagian hadapan bot.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!