Kesunyian apabila timbulnya fakta - Bekas CEO TH

PUTRAJAYA – "Saya fahami arah pemikiran mana-mana kumpulan WhatsApp apabila kecohnya mereka apabila wujud tuduhan tanpa bukti dan kesunyian apabila timbulnya fakta."
Demikian hantaran yang dimuat naik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff di Facebook pada Khamis, selepas kerajaan mengumumkan penyahklasifikasian Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH yang antara lain menyentuh penamatan perkhidmatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH pada Mei 2021.
Dalam laporannya, RCI mendapati Menteri di bawah Seksyen 6(5) Akta Tabung Haji 1995 mempunyai kuasa membatalkan pelantikan mana-mana anggota Lembaga pada bila-bila masa tanpa memberikan sebab, dan kuasa itu digunakan bagi menamatkan perkhidmatan Nik Mohd Hasyudeen serta bekas Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusof sebelum kontrak masing-masing berakhir.
Menurut suruhanjaya, Nik Mohd Hasyudeen ditamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 5 Mei 2021, iaitu sebelum kontraknya yang disambung selama dua tahun berakhir pada 31 Ogos 2021, manakala Md Nor pula ditamatkan sebagai Pengerusi TH pada 15 Oktober 2021 sebelum tamat tempoh pelantikannya.
RCI bagaimanapun membuat rumusan bahawa kedua-dua mereka telah memberikan perkhidmatan yang baik ketika menerajui TH.
"Suruhanjaya mendapati kedua-dua mereka telah memberikan perkhidmatan yang baik dan sebenarnya sedang melaksanakan penambahbaikan terhadap TH. Penamatan pelantikan mereka secara mengejut tanpa sebab telah memberi kesan kepada proses penambahbaikan yang sedang dilaksanakan," kata laporan itu.
Susulan dapatan itu, suruhanjaya berpandangan kuasa membatalkan pelantikan mana-mana anggota Lembaga tanpa sebab adalah tidak wajar dikekalkan dalam Akta 535.
Sebaliknya, RCI mencadangkan supaya sebarang keputusan untuk menamatkan pelantikan anggota Lembaga dirujuk terlebih dahulu kepada jawatankuasa atau badan penasihat bebas yang dicadangkan untuk ditubuhkan.
Suruhanjaya turut berpendapat cadangan penamatan perkhidmatan mana-mana anggota Lembaga hendaklah disertakan dengan alasan yang munasabah sebelum sesuatu perkhidmatan ditamatkan.
Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 itu telah dinyahklasifikasikan kerajaan pada Rabu bersama 25 syor penambahbaikan yang dikemukakan suruhanjaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

