Terima kasih Sinar Harian, rakyat Malaysia

ALOR SETAR – "Terima kasih Sinar Harian dan seluruh rakyat Malaysia kerana membantu menyelamatkan nyawa anak saya."
Demikian luahan penuh syukur seorang ibu, Safinatul Hayah Abdullah Sani, 50, apabila mengenang jasa semua pihak yang menghulurkan sumbangan bagi membolehkan anak sulungnya, Muhammad A'Ariz Daniel Mohd Zamani, 13, menjalani pembedahan pemindahan hati di India kira-kira 11 tahun lalu.
Penjawat awam yang juga penderma hati untuk anaknya itu berkata, kesukaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 menyebabkan dia nekad mendapatkan bantuan akhbar ini bagi menyiarkan kisah tersebut.

"Kami berusaha mencari pejabat Sinar Harian yang menjadi tempat pertama kami minta tolong. Selepas kisah anak kami disiarkan, media lain juga turut sama membantu membuat laporan.
"Alhamdulillah dalam tempoh sebulan sahaja hasil bantuan semua media, sumbangan daripada rakyat Malaysia mencapai sasaran," katanya ketika ditemui Sinar Harian yang menziarahi keluarga tersebut sempena ulang tahun ke-20 akhbar ini.
Pada Februari 2015, kisah Muhammad A'Ariz Daniel yang ketika itu berusia setahun sembilan bulan mendapat perhatian ramai apabila hanya mempunyai tempoh dua hingga tiga tahun untuk hidup sekiranya tidak segera menjalani pemindahan hati.

Keadaan perut kanak-kanak tersebut semakin membusung manakala seluruh tubuhnya kekuningan akibat penyakit biliary atresia atau kegagalan fungsi hati yang dikesan sejak berusia dua bulan.
Menurut Safinatul Hayah, hasil sumbangan orang ramai membolehkan anaknya itu menerima rawatan di sebuah hospital di New Delhi selama dua bulan ditemani suami, Mohd Zamani Mohd Azizan, 47, dan beberapa ahli keluarga lain.

Katanya, jasa rakyat Malaysia akan sentiasa terpahat dalam ingatan kerana memberi peluang kedua kepada Muhammad A'Ariz Daniel untuk meneruskan kehidupan yang kini berada di Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman.
"Alhamdulillah, sekarang dia sangat aktif walaupun masih perlu mengambil ubat setiap hari.
“Kos rawatan susulan dan ubat masih tinggi, namun kami tetap bersyukur kerana dia masih ada bersama kami sehingga hari ini,” ujarnya yang mempunyai seorang lagi anak, Marissa Aaira, 9.

Berhubung tahap kesihatan diri sebagai penderma kira-kira 30 peratus hati kepada anaknya itu, Safinatul Hayah berkata, dia menjalani kehidupan normal seperti biasa sehingga ke hari ini.
Menurutnya, rutin harian sebagai seorang ibu dan juga seorang pembantu tadbir juga tidak terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

