Mangsa langgar kerbau antara empat pencarum terima faedah LINDUNG 24 Jam

Pekerja pembersihan, Nor Izzati Mohd Fazil, 27, yang terbabit dalam nahas langgar kerbau, Jun lalu layak menerima faedah LINDUNG 24 JAM PERKESO.
Pekerja pembersihan, Nor Izzati Mohd Fazil, 27, yang terbabit dalam nahas langgar kerbau, Jun lalu layak menerima faedah LINDUNG 24 JAM PERKESO.
A
A
A

IPOH - Insiden penunggang motosikal melanggar kerbau hingga cedera menjadi antara kes yang membolehkan pencarum menerima faedah di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam kejadian pada 4 Jun lalu, pekerja pembersihan, Nor Izzati Mohd Fazil, 27, cedera selepas motosikal ditunggangnya terlanggar haiwan tersebut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Bota.

Kemalangan kira-kira jam 1.30 pagi itu menyebabkan mangsa patah tangan kanan, melecur pada tapak kaki serta luka di bahagian kening sebelum menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Beliau layak menerima Gantian Belanja Perubatan bagi kos pembedahan implan bernilai RM2,700 serta Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM846 sepanjang tempoh tidak bekerja.

PERKESO dalam kenyataan memaklumkan, kes tersebut antara contoh perlindungan yang diberikan kepada pencarum walaupun kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.

Menurutnya, dalam kejadian berasingan, operator kilang, R Prem Raja, 24, mengalami patah paha kanan selepas motosikalnya dilanggar kereta yang keluar secara tiba-tiba pada 8 Jun lalu.

"Pencarum menjalani pembedahan di HRPB dan layak menerima FHUS berjumlah RM1,368, manakala kos rawatan serta implan bernilai RM1,500 ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO," jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, seorang pengurus sumber manusia, Liau Chiew Ling, 60, turut menerima faedah sama selepas mengalami kecederaan pada lengan ketika menaiki LRT di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.

Insiden berlaku apabila pergerakan tren menyebabkan lengannya bergesel dengan jam tangan penumpang lain sehingga mengakibatkan luka dan memerlukan cuti sakit selama lima hari.

Artikel Berkaitan:

Operator kilang, R Prem Raja, 24, yang mengalami patah paha kanan selepas motosikalnya dilanggar kereta, Jun lalu menerima kunjungan Skuad PERKESO Prihatin.
Operator kilang, R Prem Raja, 24, yang mengalami patah paha kanan selepas motosikalnya dilanggar kereta, Jun lalu menerima kunjungan Skuad PERKESO Prihatin.

Beliau menerima bayaran FHUS sebanyak RM90 sepanjang tempoh pemulihan tersebut.

Dalam satu lagi kes, pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Muhamad Amin Mustaza, 37, cedera selepas terjatuh dari pokok rambutan ketika bercuti di Kamunting pada 28 Jun lalu.

Mangsa menerima rawatan di klinik berhampiran dan layak menerima FHUS sebanyak RM72 bagi tempoh cuti sakit.

PERKESO memaklumkan, eempat-empat kes berkenaan membuktikan risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Perlindungan 24 jam amat penting bagi membantu pekerja menghadapi implikasi kewangan apabila ditimpa musibah, termasuk di luar waktu bekerja,” menurut kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!