UNHCR sedia perkukuh kerjasama dengan Malaysia urus isu pelarian

SHAH ALAM – Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Malaysia dalam menangani isu pelarian, termasuk memastikan individu yang memerlukan perlindungan antarabangsa dikenal pasti menerusi sistem suaka yang adil, berkesan dan berteraskan perlindungan.
UNHCR dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta mengalu-alukan penekanan terhadap kerjasama yang lebih erat dalam menangani isu pelarian di negara ini.
Menurut kenyataan itu, sesebuah negara memikul tanggungjawab utama menyediakan perlindungan antarabangsa kepada pelarian dan pencari suaka di wilayah masing-masing, manakala UNHCR diberi mandat untuk menyokong kerajaan dalam melaksanakan peranan tersebut.
“UNHCR secara konsisten berurusan dengan pihak berkuasa Malaysia dan menyokong usaha mengukuhkan kapasiti serta prosedur suaka kebangsaan, termasuk proses pendaftaran dan pengeluaran dokumentasi,” menurut kenyataan itu kepada Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu, Mohamad mempersoalkan ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi mengawal bidang kuasa, tanggungjawab dan skop operasi agensi berkenaan.
Beliau mendakwa Malaysia menjadi 'magnet' kepada pelarian kerana UNHCR terlalu mudah mengeluarkan kad pelarian.
Mohamad turut menggesa supaya diwujudkan keseimbangan antara pertimbangan kemanusiaan dan keselamatan negara.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan langkah yang mewajibkan pemohon pelarian menjalani saringan keselamatan serta mendapatkan kelulusan kementerian sebelum kad UNHCR dikeluarkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Diusir dari Kampung Kuala Muda, etnik Rohingya 'serbu' pejabat UNHCR
Ratusan pelarian Rohingya berhimpun di hadapan UNHCR dipindahkan ke IPK KL - Polis
Rohingya dihalau, adakah empati rakyat Malaysia sudah habis?
Persaingan ekonomi, tapak penempatan penuh punca 121 warga Rohingya berpindah - Polis
Pelarian Rohingya miliki dokumen UNHCR sah - Ketua Polis KL
Mengulas mengenai integriti sistem, UNHCR menjelaskan bahawa proses pendaftaran dan penentuan status pelarian (RSD) dilaksanakan mengikut piawaian serta prosedur yang ditetapkan.
Langkah itu merangkumi pengesahan identiti dan tindakan lain bagi mencegah risiko penipuan serta pertindihan dokumen.
Pada masa sama, UNHCR menegaskan bahawa kawalan imigresen, saringan keselamatan negara dan penguatkuasaan undang-undang kekal menjadi tanggungjawab pihak berkuasa kerajaan.
“UNHCR sedia bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama praktikal, menyokong pengaturan perkongsian maklumat yang bersesuaian, serta memastikan prosedur sedia ada dapat menangani kedua-dua keperluan perlindungan dan pertimbangan pengurusan sempadan.
“Ini bertepatan dengan sejarah panjang Malaysia yang sentiasa memberikan perlindungan serta keselamatan kepada mereka yang melarikan diri daripada konflik dan penganiayaan,” katanya.
Menyentuh mekanisme sedia ada, UNHCR berkata, pihaknya dan kerajaan Malaysia sentiasa mengekalkan penglibatan berterusan berkaitan isu pelarian menerusi saluran penyelarasan rasmi, termasuk Pasukan Petugas Bersama (Joint Task Force) antara agensi yang menjadi platform perbincangan.
Selain itu, penglibatan bersama pihak berkuasa Persekutuan dan negeri turut dilaksanakan menerusi konsultasi dua hala, mesyuarat antara agensi, perbincangan teknikal serta penyelarasan operasi di peringkat dasar dan pelaksanaan.
“Saluran ini mencerminkan amalan dialog dan kerjasama yang telah lama terjalin antara UNHCR dan pihak berkuasa Malaysia.
“UNHCR kekal komited untuk meneruskan serta mengukuhkan mekanisme ini bagi menyokong pengurusan pelarian yang berkesan, di samping menangani isu kepentingan bersama secara konstruktif dan kolaboratif,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


