Persaingan ekonomi, tapak penempatan penuh punca 121 warga Rohingya berpindah - Polis

Anuar berkata, proses perpindahan tersebut dilakukan secara sukarela oleh etnik itu sendiri.
Anuar berkata, proses perpindahan tersebut dilakukan secara sukarela oleh etnik itu sendiri.
A
A
A

KEPALA BATAS – Persaingan ekonomi dan pertambahan jumlah penghuni di Penempatan Sementara Bekas Tapak Tsunami Penaga, Kuala Muda di sini dikenal pasti menjadi punca seramai 121 etnik Rohingya berpindah ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, proses perpindahan tersebut dilakukan secara sukarela oleh etnik itu sendiri dengan bantuan dan penyelarasan Jabatan Persekutuan (Jabatan Perpaduan), kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), wakil penduduk tempatan serta wakil komuniti Rohingya.

"Perpindahan itu dibuat susulan persaingan ekonomi dan isu kawasan penempatan yang semakin terhad berikutan pertambahan etnik Rohingya di kawasan berkenaan.

"Sepanjang proses perpindahan itu, polis turut memantau dan menyelaras bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, tular video dan gambar yang memaparkan kehadiran beberapa buah bas persiaran dipercayai ketika proses membawa keluar warga asing terbabit dari kawasan berkenaan ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mensensasikan isu berkenaan sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, sebarang pertanyaan berkaitan perkara itu boleh diajukan kepada Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Deputi Superintendan Fakhruz Zaman Husin di talian 04-5762222.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!