Hati-hati dengan wanita hamil dalam LRT

Nak tahu perempuan itu hamil atau tidak, biasanya dia kerap usap perutnya - Merak Jalanan - Imej janaan AI
Nak tahu perempuan itu hamil atau tidak, biasanya dia kerap usap perutnya - Merak Jalanan - Imej janaan AI
A
A
A

BARU-baru ini Merak Jalanan menghadiri kursus di Kuala Lumpur. Biasanya jika ada tugasan luar, lebih selesa memandu sendiri. Namun, memandangkan lokasi berdekatan stesen LRT, Merak Jalanan menggunakan pengangkutan awam.

Selain pengalaman menjadi ‘sardin’ waktu puncak ketika warga kota berpusu-pusu pergi dan pulang dari kerja, Merak Jalanan berdepan satu situasi yang membuatkan serba salah. Separuh perjalanan, akhirnya ada tempat duduk kosong. Jadi Merak Jalanan pun duduklah.

Di hadapan pula berdiri beberapa lelaki dan wanita yang kelihatan sihat. Tidaklah rasa bersalah sangat kerana semua mampu berdiri. Namun, di stesen berikutnya naik seorang wanita yang membuatkan Merak Jalanan terus berfikir. Nak kata hamil, macam hamil. Nak kata tidak, macam tidak.

Nak menawarkan tempat duduk, takut tersalah sangka. Kalau benar-benar hamil, rasa bersalah pula kalau terus duduk. Tetapi kalau dia sebenarnya tidak hamil, bukankah itu boleh membuatkan dia terasa hati? Dalam kepala ketika itu pelbagai andaian. Akhirnya Merak Jalanan pilih jalan paling selamat. Buat-buat tidur.

Walaupun mata tertutup, hati tidak tenang. Sampai di tempat kursus, perkara pertama Merak Jalanan lakukan ialah bertanya rakan perempuan mengenai situasi tersebut. Rakan hanya ketawa kecil. Katanya, tindakan berdiam diri itu mungkin pilihan paling selamat. Antara perkara sensitif bagi wanita ialah apabila membuat andaian bentuk badan mereka.

“Nak tahu perempuan itu hamil atau tidak, biasanya dia kerap usap perutnya. Itu satu petandanya,” katanya.

Nampaknya dalam dunia hari ini, bukan sahaja mulut perlu dijaga. Niat yang baik juga perlu disertakan dengan sedikit kebijaksanaan.

Kalau tidak, akhirnya ramai lelaki memilih untuk memandang telefon atau pura-pura tidur. Bukan tidak prihatin, cuma takut menjadi mangsa salah faham.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!