RCI syor Jawatankuasa Urusan Haji dikanunkan, diberi peranan khusus

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) mencadangkan supaya Jawatankuasa Urusan Haji dikanunkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dan diberi peranan khusus.
Menurut laporan RCI yang diterbitkan semalam, jawatankuasa itu ditubuhkan dengan tanggungjawab untuk menilai dan membuat keputusan mengenai perkara-perkara berkaitan operasi haji selepas Majlis Penasihat Haji dibubarkan pada 2018 susulan pemansuhan Akta Lembaga Urusan Tabung Haji 1969 (Akta 8).
"Memandangkan pengurusan haji adalah merupakan fungsi utama Lembaga TH, suruhanjaya berpendapat adalah wajar Jawatankuasa Urusan Haji dikanunkan di bawah Akta 535,” menurut laporan itu.
RCI itu mengesyorkan Jawatankuasa Urusan Haji berperanan menasihati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkenaan dasar dan perancangan dalam urusan haji serta membincangkan isu kebajikan jemaah haji dan perkara yang dirujuk kepadanya berhubung urusan haji.
Selain itu, jawatankuasa tersebut juga disyorkan untuk mencadangkan penambahbaikan dalam pengurusan haji dan memberi maklum balas kepada pengurusan Lembaga TH dalam isu berkaitan pengurusan haji serta memberi cadangan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah haji.
ARTIKEL BERKAITAN: 'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid
'RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO 'sakau?' - Akmal Saleh
Penerbitan laporan penuh RCI Tabung Haji perkukuh ketelusan, amanah tadbir urus institusi – IKIM
RCI: RM88 bilion perlu diaktifkan jika TH gagal pelan pemulihan
Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan
RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi
RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas
Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula
Menurut laporan itu, RCI turut mencadangkan Pengerusi Lembaga TH mempengerusikan Jawatankuasa Urusan Haji, manakala ahli hendaklah terdiri daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), wakil Kementerian Luar, wakil Kementerian Kesihatan, dan tiga ahli yang dilantik oleh Menteri Hal Ehwal Agama.
Suruhanjaya itu juga mencadangkan peruntukan lazim seperti kuorum, perjalanan mesyuarat, undi pemutus, pengerusi, kekosongan jawatan, hilang kelayakan dan penzahiran kepentingan berkaitan dengan Jawatankuasa Urusan Haji hendaklah diperuntukkan dalam Akta 535.
"Suruhanjaya juga mencadangkan ahli-ahli Jawatankuasa Urusan Haji boleh dibayar honorarium dan elaun perjalanan serta elaun gantian sebagaimana ditetapkan oleh Lembaga (TH),” menurut laporan itu.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil semalam berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa Laporan RCI mengenai TH dari 2014 hingga 2020 dibuat pengelasan semula dan didedahkan kepada umum.
Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH itu diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) malam tadi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
