Tiga juruukur sesat di hutan ditemukan selamat

Operasi SAR digerakkan membabitkan lima anggota polis, lima anggota bomba serta dibantu tiga juruukur.
Operasi SAR digerakkan membabitkan lima anggota polis, lima anggota bomba serta dibantu tiga juruukur.
A
A
A

DUNGUN - Tiga juruukur lelaki yang dilaporkan sesat ketika menjalankan kerja mengukur tanah di kawasan hutan di Kampung Tok Kah di sini ditemukan selamat oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, mangsa, Wan Muhamad Haziem Wan Abdullah, 32, Wan Hafizuddin Aiman Wan Zamili, 23, dan Muhammad Adam Ruzilan, 22, ditemukan pada 11.30 malam.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa memasuki kawasan hutan itu pada 10 pagi semalam bersama tiga lagi rakan sekerja bagi menjalankan kerja mengukur tanah, sebelum mereka berpecah kepada dua kumpulan.

"Ketiga-tiga mangsa dipercayai tersesat selepas gagal menemukan laluan keluar. Polis menerima panggilan kira-kira 7.30 malam daripada kumpulan juruukur yang berjaya keluar dari kawasan itu memaklumkan tiga rakan mereka masih belum ditemukan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, operasi SAR kemudian digerakkan membabitkan lima anggota polis, lima anggota bomba serta dibantu tiga juruukur.

"Berdasarkan koordinat lokasi yang dihantar mangsa, pasukan penyelamat memasuki kawasan hutan sejauh kira-kira satu kilometer sebelum berjaya mengesan ketiga-tiga mereka.

"Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan hutan berkenaan dalam keadaan selamat," katanya. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!