Lelaki, dua kanak-kanak hilang sembilan jam di kawasan air terjun ditemukan selamat

DUNGUN - Seorang lelaki bersama dua kanak-kanak selamat ditemukan awal pagi tadi, kira-kira sembilan jam selepas dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti di kawasan hutan berhampiran air terjun dekat Pondok Munazil Siddiqin, , di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun Penolong Penguasa Bomba II Yahaya Hanafi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa, Izham Haziq Mohd Ridhuan, 23, serta Muhammad Harraz Naufal Zamri dan Ahmad Al Baihaqi Ahmad Nazri, masing-masing berusia 10 tahun pada 10.47 malam sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama beberapa lagi rakan ke kawasan air terjun berkenaan untuk mandi-manda.
"Bagaimanapun pada 5 petang, seorang rakan pulang lebih awal dan memaklumkan mangsa ingin mendaki bukit mengikut laluan anak sungai untuk mandi di kawasan air terjun di bahagian atas.
"Kesemua mangsa gagal pulang sehingga malam tadi dan motosikal milik seorang daripada mereka masih berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Yahaya berkata, operasi SAR berkenaan membabitkan tujuh anggota bomba dari BBP Dungun dan BBP Paka, tiga anggota polis serta 30 orang awam.
Beliau berkata, operasi itu ditangguhkan sementara pada 1 pagi atas faktor keselamatan.
"Bagaimanapun, pihak polis memaklumkan pada 2.20 pagi, ketiga-tiga mangsa telah ditemukan oleh orang awam yang menjalankan pencarian di kawasan berkenaan.
"Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
