Lelaki ditembak di Seri Tambun: Polis temui beberapa bukti cubaan bunuh

NIBONG TEBAL – [KEMAS KINI] Polis menemukan beberapa bahan bukti di lokasi kejadian bagi membantu siasatan kes cubaan bunuh membabitkan penggunaan senjata api di kawasan perniagaan Seri Tambun, Simpang Ampat di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dan pihaknya sedang meneliti semua sudut bagi mengenal pasti motif sebenar insiden berkenaan.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun mengalami kecederaan selepas terkena tembakan pada lengan kanan.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
“Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-8282212 atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara di daerah Seberang Perai Selatan,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki cedera selepas dipercayai ditembak seorang lelaki bertopeng ketika berjalan menuju ke kenderaannya.
Kejadian tersebut berlaku selepas mangsa membeli telur di sebuah premis di kawasan komersial Seri Tambun, Simpang Ampat, pada Isnin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang sebelum itu selesai bersenam dilaporkan terkena satu das tembakan pada bahagian tangan kanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

